Anonymous

MPM Harap IPC Kekalkan Kuota Pemanah Ke Paralimpik London

Jeanne Abdullah menyiram air ke atas pokok Salam sambil diperhatikan Abdullah Ahmad Badawi pada program menanam pokok oleh atlet paralimpik di Laman OKU, Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan meminta Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menggantikan kuota yang sebelum ini diisi Allahyarham Mohd Salam Sidek kepada pemanah Malaysia yang lain, pada temasya Paralimpik London dari 29 Ogos hingga 9 Sept.
Presidennya Datuk Zainal Abu Zarin berkata ini kerana Mohd Salam, yang meninggal dunia pada November lepas, dan pernah menduduki ranking pertama dunia telah pun layak ke London secara merit sebelum meninggal dunia.
"Tiga kuota atlet memanah ke London harap dikekalkan oleh IPC walaupun tanpa penglibatan allahyarham dan senarai lengkap atlet ke paralimpik London akan diperoleh menjelang bulan Mei nanti.
"Dua lagi slot pemanah ke London masih belum diisi namun kita mohon IPC mengekalkan tiga kuota tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menanam Pokok untuk atlet yang memenangi pingat di Sukan Para Asean di Solo, Indonesia di sini Khamis.
Sukan dwitahunan itu menyaksikan kontinjen paralimpik negara mengakhiri saingan di tangga ketiga dengan membawa pulang 51 pingat emas, 36 perak dan 45 gangsa.
Mengenai penyertaan atlet paralimpik Malaysia pada temasya di London, Zainal berkata atlet-atlet negara masih lagi menyertai pelbagai kejohanan kelayakan.
"Menurut rekod IPC, jumlah atlet seluruh dunia yang berpeluang layak ke sana terlalu ramai," katanya.
Mengenai sasaran kontinjen paralimpik Malaysia, beliau berkata sudah pasti MPC mengharapkan ada kilauan pingat tanpa mengira warna kerana kejohanan itu amat kompetitif, melibatkan atlet profesional dari seluruh dunia.
"Memang kita mengharapkan pingat terutamanya daripada sukan olahraga, perahu layar dan angkat berat tetapi ia masih terlalu awal. Lagi pun atlet kita sedang mempersiapkan diri mereka dengan latihan intensif dengan kerjasama MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara)," katanya.
Sementara itu, Penaung MPM Tun Jeanne Abdullah berkata program menanam pokok pada kali keempat ini merupakan simbolik bagi menghargai kilauan pingat yang diraih kontinjen negara semasa Sukan Para Asean di Solo.
"Ia juga bagi memperingati atlet memanah paralimpik, Allahyarham Mohd Salam dan sebatang pokok ditanam di Taman Paralimpik di Bukit Jalil yang dinamakan 'Pokok Salam'," katanya.
Allahyarham Mohd Salam meninggal dunia 15 Nov lepas.
Sepanjang kerjayanya sebagai atlet, Mohd Salam pernah beraksi di Sukan Paralimpik Athens (2004) dan Beijing (2008)

Subscribe to this Blog via Email :