MZI Sports

SAWAH JADI LAPANG SASAR

Jempol: Inisiatif bekas jaguh memanah negara Hassan Lamri menjadikan bekas sawah padi miliknya di Kampung Air Dedali, Batu Kikir, dekat sini, sebagai lapang sasar memanah sejak enam tahun lalu berhasil melahirkan ramai jagoan dalam sukan itu.

Malah, pusat dikenali sebagai Lapang Sasar Golden Arrows (LSGA) itu kini diiktiraf oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) sebagai Lapang Sasar Memanah Pusat Latihan Negeri Negeri Sembilan.

Menurut Hassan, 60, nama ‘Golden Arrows’ diambil sempena warna kuning keemasan pada anak panah yang menaikkan namanya sehingga disegani di peringkat Asia.

Katanya, kejohanan memanah Asia di Thailand pada 1987 memberi kenangan manis apabila dia merangkul pingat emas kategori individu manakala di Sukan SEA di Jakarta, Indonesia (tahun sama) pula dia menduduki tempat kelima.

“Pada kedua-dua kejohanan itu, saya menggunakan warna emas untuk anak panah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Mengimbau kisah silamnya, Hassan dilahirkan di Singapura dan pernah mendapat jolokan ‘Robin Hood of Singapore’ kerana pembabitan aktifnya dalam kejohanan memanah di sana.

“Pada 1983 saya berhijrah ke Malaysia selepas mendapat kerakyatan Malaysia dan seterusnya menetap di Kampung Air Dedali, Batu Kikir.

“Mulai detik itu saya kembali aktif memanah dan berdaftar sebagai ahli Kelab Memanah Diraja Seri Menanti (KMDSA) hingga mengharumkan nama kelab di Sukan Asia dan Sukan Sea pada 1987,” katanya.
Menurut Hassan, sekembalinya dari Sukan SEA Jakarta, dia bersara daripada sukan memanah kerana perlu bekerja untuk membesarkan anak-anak.

“Namun, saya kekal aktif menjadi jurulatih memanah di sekolah-sekolah seluruh Negeri Sembilan.

“Atas faktor tidak ingin jauh dari keluarga, saya nekad membuka lapangan sasar memanah di bekas tapak sawah padi di rumah saya.

“Sehingga kini anak murid saya mencapai 2,500 orang dan ada kalangan mereka berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya yang juga pakar membaik pulih panah dan membuat tali panah.

Seorang pelatih orang kurang upaya (OKU), Abd Faatir Aqil Rafizam, 11, berkata, menerusi bimbingan Hassan dia kini berada di tempat ke-10 pemanah terbaik di Negeri Sembilan.

“Saya mula belajar memanah ketika berusia tujuh tahun dan pada ketika itu, emak saya tidak percaya saya boleh memanah, tetapi kini saya sudah buktikan OKU pun mampu lakukannya,” katanya.

Pelatih adik beradik, Hajar Insyirah Mohd Zaidi, 11, Aiman Danial, 9, dan Kaisatina Huda, 7, teruja mengikuti kelas memanah di situ apatah lagi mendapat sokongan daripada bapa mereka.

“Ayah kami seorang guru dan juga jurulatih memanah sanggup belikan tiga set alat memanah setiap satu berharga RM1,800,” katanya.- Harian Metro (Sabtu, 4 April 2015)




Subscribe to this Blog via Email :