Thursday, February 2, 2012

PELAJAR MAUT DI PANAH PETIR: Arwah tak sabar guna penutup mata baru


KUALA KANGSAR: “Arwah memang tidak sabar keluar menjalani latihan memanah di sekolah petang semalam (kelmarin) kerana mahu mencuba penutup mata khas yang baru dibelinya bagi sukan itu,” kata Suhila Anuar, 37, ibu kepada Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini yang maut dipanah petir petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa bersama tujuh murid lain dan seorang guru, baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.

Suhila yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, di sini, semalam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah memaklumkan kepadanya untuk membeli penutup mata berkenaan bagi memudahkannya menjalani latihan memanah di sekolah.

Dia berkata, arwah sanggup membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah RM2 sehari bagi mengumpul wang membeli peralatan berharga RM10 itu. “Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. “Arwah tidak pandai bermain sukan lain, jadi dia berhajat mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.

Bapa arwah, Mohamad Tajul Ariffin Shahruddin, 40, berkata anaknya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan memanah, malah dia sering memberi galakan kepada arwah.


“Setiap kali latihan, arwah bersiap lebih awal untuk menjalani latihan memanah di sekolah. Saya dimaklumkan guru sekolah arwah latihan semalam (kelmarin) untuk memilih peserta mewakili sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, tiga murid dan guru sekolah yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan lanjut sebelum tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Katanya, seorang lagi mangsa yang juga guru lelaki masih dirawat di hospital sama kerana masih lemah.

“Laporan bedah siasat hospital mendapati, arwah maut disebabkan kecederaan parah terkena panahan petir,” katanya.

Harian Metro

No comments:

11TH UPM OPEN INDOOR ARCHERY CHAMPIONSHIP

We am glad to inform you that Universiti Putra Malaysia is organising The 11th. Open Archery Championship 2017 in an effort to promote ar...