Pemanah bakal 'tawan' Bangkok
Lima bulan tanpa aksi di pentas dunia tak jejas prestasi anak didik Jae-hyungTANPA penyertaan di kejohanan antarabangsa hampir lima bulan selepas Olimpik, jurulatih memanah kebangsaan, Lee Jae-hyung masih bernada yakin bahawa trio pemanah seniornya mampu memberikan aksi terbaik menjelang Grand Prix Asia di Bangkok, bulan depan.
Pengendali Korea Selatan itu berkata, sepanjang tempoh lima bulan tanpa kejohanan buat dua anak buahnya - Mohd Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd Khalmizam Abdul Aziz - digunakan sepenuhnya membuat persiapan rapi dan membaiki teknik ketika Cheng Chu Sian (gambar) yang beraksi pada Kejohanan Sukan Universiti Asean ke-14, bulan lalu, semakin menunjukkan prestasi membanggakan.
“Khalmizam juga semakin baik terutama masalah teknik asas yang sebelum ini dikatakan bermasalah.
“Sebenarnya, ketika itu, dia tidak mempunyai sebarang kejohanan dan dilanda demam hampir tiga minggu yang menyukarkan pergerakannya. Keadaan itu menjejaskan aksinya sehingga menyebabkan dia berasa ada masalah pada teknik asasnya,” kata Jae-hyung.
Sambil mengakui tiada masalah berhubung prestasi Chu Sian, beliau berkata, Mohd Marbawi tidak menghadapi masalah serius selain semangatnya perlu diyakinkan menjela
ng kejohanan.
Sehubungan itu, Grand Prix Asia yang juga kejohanan antarabangsa sulung buat Wan Mohd Khalmizam dan Mohd Marbawi dijadikan ukuran sejauh mana dua atlit itu mampu mengatasi kelemahan mereka.
Sirkit pertama kejohanan tahunan yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 24 Februari depan, dijangka disertai lapan pemanah recurve iaitu empat lelaki - termasuk trio negara yang berperanan sebagai tonggak utama mempertahankan pingat emas berpasukan - selain empat wanita.
Moon Redee minat wakili negara semula
BEKAS pemanah Olimpik negara, Moon Redee Sut Txi berhasrat untuk kembali bergiat cergas dalam sukan memanah di peringkat kebangsaan dan seterusnya mewakili negara dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.
Katanya, dia ingin kembali memandangkan ketiadaan pemanah wanita negara yang layak ke Sukan Olimpik Beijing 2008 yang lalu dan kemungkinan berulang pada Olimpik di England 2012.
“Saya mahu kembali menyertai sukan memanah dan berharap dapat mewakili negara sekali lagi ke Sukan Olimpik akan datang.’ katanya ketika dihubungi di Temerloh kelmarin.
“Sistem ini memberi keadilan kepada semua pemanah dan saya akan memulakan dengan menyertai sirkit kebangsaan yang bakal diadakan,” katanya.
Selain itu, katanya, tugas sebagai jurulatih sukan di Sekolah Sukan Pahang memberi ruang kepadanya mengembalikan keupayaannya yang terjejas disebabkan kecederaan bahu kanan di samping kesibukan untuk menamatkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara itu, Setiausaha Kehormat NAAM, Hamid Hassan, berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran Moon Redee ke dalam kancah saingan bersama pemanah pelapis negara sekarang ini.
“Kami mengalu-alukan kehadirannya dan buat permulaan dia mesti membuktikan keupayaan dalam saingan sirkit kebangsaan yang diadakan sepanjang tahun ini.
“Pengalamannya di peringkat antarabangsa terutama di Olimpik yang lalu sangat berguna untuk membimbing skuad negara dalam projek Road to London yang membabitkan tiga sukan utama badminton, berbasikal dan memanah yang dilancarkan baru-baru ini,” kata Hamid.