Anonymous

TIBA GILIRAN PEMANAH ELIT MENYERLAH

SELEPAS sebutir pingat perak diraih pada Festival Olimpik Remaja Australia (AYOF), berakhir Ahad lalu, tumpuan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) kini terarah kepada senarai nama 12 pemanah yang akan mengibarkan cabaran pada Grand Prix Asia di Bangkok, Thailand, 18-24 Februari depan.

Kilauan perak milik trio recurve berpasukan dibarisi Fepriyenita Anuar, Nurul Amanina Rosmay dan Nur Amira Mohamed itu sudah memadai buat NAAM, yang awalnya mengharapkan cuma sebutir gangsa di AYOF.

Justeru, Setiausaha Kehormat NAAM, Hamid Hassan, berkata kejayaan lebih membanggakan dituntut daripada 12 pemanah skuad elit dan pelapis elit ke Bangkok yang dijangka disenaraikan jurulatih, Lee Jae-hyung tidak lama lagi.

“Kami gembira dengan pencapaian pelapis di AYOF dan berharap, rentak cemerlang pada kejohanan pertama tahun ini diulangi skuad senior di Bangkok. Saya fikir jurulatih (Jae-hyung) akan menghantar senarai pilihannya dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Skuad elit dan pelapis elit masing-masing kendalian Jae-hyung dan seorang lagi jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Jae Rack difahamkan kini sedang menjalani latihan intensif di Lapangan Memanah Majlis Sukan Negara (MSN).

Malaysia dijadual menurunkan enam pemanah lelaki dan enam wanita di Bangkok, kejohanan persediaan menjelang misi utama 2009 - Kejohanan Dunia di Ulsan, Korea Selatan, September depan.

Mengenai program barisan pelapis, Hamid berkata, mereka dijadual kembali berlatih di MSN Keramat dibawah kendalian dua jurulatih, Bae Jae Kyun dan Othman Abd Wahab sebelum menyertai Terbuka Australia, April depan.

“Mereka hanya menjalani latihan dalam negara dan saya akan cuba mengenal pasti beberapa pasukan untuk menjalani latihan bersama atau perlawanan persahabatan,” katanya.

Subscribe to this Blog via Email :