Anonymous

NEWS


NSA akur langkah MSN kurang bajet

PERSATUAN sukan kebangsaan (NSA) akur dengan pengurangan bajet oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tahun ini tetapi berharap ia tidak akan menjejaskan persiapan yang sudah disusun terutama sekali yang membabitkan program jangka panjang Sukan Komanwel dan Asia 2010.

Malah kebanyakan NSA juga bersedia memainkan peranan masing-masing untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi menampung kekurangan yang bakal dihadapi.

Namun bagi NSA, mereka sebenarnya tidak mengetahui jumlah sebenar yang diperuntukkan kepada mereka setiap tahun, kecuali hanya apa yang disalurkan kepada MSN untuk menghantar atlit menyertai pertandingan antarabangsa, dan peruntukan yang masih belum dilunaskan MSN.

“Sudah tentu persatuan sukan kebangsaan terpaksa menerima peruntukan yang disediakan MSN sama ada kecil ataupun besar,” kata Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Karim Ibrahim (gambar). “Malah selama ini pun bantuan yang diberikan kepada KOAM agak berkurangan.

“Ada kalanya KOAM mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan sehingga sekarang, MSN masih ada bayaran yang belum dilunaskan kepada kami selepas lebih tiga tahun.

“KOAM terpaksa mencari alternatif untuk mendapatkan peruntukan daripada sumber lain bagi memastikan program yang sudah disusun tidak terjejas.”

Semalam, Berita Harian mendedahkan belanjawan MSN untuk 2009 berkurangan hampir 30 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong meminta persatuan belanja lebih berhemah.

Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), antara persatuan yang memerlukan perbelanjaan besar untuk melatih atlitnya, jelas sudah dimaklumkan dengan situasi itu.

“MSN sudah memberikan bayangan. Kami sebenarnya tidak mengetahui jumlah sebenar yang dibelanjakan MSN untuk kami.

“Cuma apa yang kami sedia maklum, MSN menyalurkan kewangan untuk kegunaan pertandingan. Tetapi jumlah sebenar termasuk untuk latihan, gaji jurulatih dan lain-lain, memang kami tidak mengetahuinya,” kata Setiausaha Eksekutifnya, Mejar (B) Jasni Shaari.

Bagi Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), mungkin tidak begitu terjejas dengan pengurangan peruntukan memandangkan memanah dikenal pasti antara sukan yang boleh menyumbang pingat di Sukan Olimpik, tetapi persatuan tetap mengambil pendekatan berjimat cermat.

“Persatuan tidak boleh merungut sebaliknya terpaksa menerima apa saja yang diberikan MSN,” kata Setiausahanya Abdul Hamid Hassan. “Dan saya pasti pengurangan bajet ini sama sekali tidak akan menjejaskan persediaan atlit.”


Bajet MSN 'merudum' 30 peratus

MAJLIS Sukan Negara (MSN) punya alasan kukuh meminta persatuan sukan kebangsaan lebih berhemah dalam merangka perbelanjaan tahun ini - belanjawan badan induk itu untuk 2009 hampir 30 peratus kurang berbanding tahun sebelumnya.

Penurunan itu diramalkan ketika MSN tampak mengambil kira kemerosotan sumber pendapatan, gara-gara krisis ekonomi ketika ini, buat membiayai segala program kendalian badan induk berkenaan.

MSN difahamkan berbelanja lebih RM230 juta keseluruhan untuk 2008, termasuk belanjawan pentadbiran badan induk berkenaan selain kos kontrak jurulatih serta pembiayaan program latihan serta penyediaan atlit bersama persatuan sukan kebangsaan.

Angka itu difahami ketika MSN turut menyediakan program persiapan khas untuk temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos lalu.

Cuma tahun ini, dengan Sukan Sea di Laos Disember nanti jadi temasya paling signifikan untuk perancangan jangka pendek, badan induk itu menyiapkan belanjawan keseluruhan difahamkan mencecah angka hampir RM170 juta.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, tidak menafikan hakikat penurunan itu biarpun mengakui angka sebenarnya masih belum diputuskan secara muktamad.

"Apa yang penting ialah supaya semua persatuan sukan kebangsaan merangka program latihan dan persiapan atlit dengan sebaik mungkin. Memang sebelum ini, pada bengkel hujung tahun lalu, saya sarankan mereka membuat perancangan menyeluruh, seolah-olah bantuan tidak berkurangan.

"Ia akan membolehkan kita meneliti program latihan terbaik atlit. Contohnya, jika atlit mampu mencapai tahap terbaik menerusi penyertaan dalam lapan kejohanan, berbanding 10 kejohanan dicadangkan persatuan, mungkin jumlah itu sahaja akan kita biayai.

"Tetapi segala perancangan akan tetap berjalan seperti biasa, cuma kita akan berjimat di mana yang boleh," katanya. Zolkples bagaimanapun mengulangi ketetapan betapa peruntukan kewangan untuk tiga sukan dikenalpasti berpotensi untuk menggegar pada Sukan Olimpik 2012 di England nanti badminton, berbasikal serta memanah akan diteruskan.



Subscribe to this Blog via Email :