Anonymous

HIGHLIGHTS

ATLET WANITA BANGGA BERTUDUNG

RAMAI di kalangan atlet wanita Islam pada Sukan Olimpik Beijing memecahkan stereotaip Barat, dengan membuktikan pemakaian tudung tidak sekali-kali menghalang pembabitan mereka dalam aktiviti sukan dan kehidupan.

“Tudung tidak sekali-kali memberikan masalah kepada saya,” kata pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara yang mencatat sejarah bagi atlet wanita Islam selepas memenangi pingat emas Sukan Asia Barat 2006 kepada Reuters, Isnin lalu.

Temasya berkenaan yang bermula 8 Ogos lalu, akan memperlihatkan ramai wanita Islam berazam untuk mematuhi etika berpakaian berlandaskan agama ketika memburu emas di kejohanan berprestij itu.

Enam atlet wanita yang bertudung adalah dari Mesir, tiga atlet Iran, masing-masing seorang dari Afghanistan dan Yaman, mengambil bahagian dalam acara larian, dayung, taekwondo dan memanah.

Ruqaya dan pendayung Iran, Homa Hosseini mendapat penghormatan kerana terpilih sebagai pembawa bendera bagi negara masing-masing pada majlis pembukaan sukan itu.

Dalam Islam, tudung adalah etika pakaian yang wajib bagi wanita dan bukannya simbol keagamaan, sebagaimana dikritik hebat di Barat, kebelakangan ini.

Januari lalu, seorang pelari Islam dari sekolah tinggi Amerika ditarik keluar daripada pertandingan peringkat tempatan kerana memakai tudung.

Pada Mac tahun lalu, penggubal dasar Lembaga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), menyatakan tudung dilarang dalam sukan bola sepak.

Peraturan itu dibuat selepas seorang pemain Islam Kanada digantung daripada sukan bola sepak kerana memakai tudung.

Seorang kanak-kanak Kanada berusia 11 tahun juga dinafikan daripada menyertai acara Judo kebangsaan November tahun lalu kerana memakai tudung.

Pemain pedang Mesir, Shaimaa El-Gammal, bagi kali ketiga di temasya Olimpik, memakai tudung bagi kali pertama dalam perlawanan.

“Apabila saya berlawan pedang, saya bangga kerana saya seorang Islam,” kata wanita berusia 28 tahun itu. Ia sangat simbolik bagi wanita di negara saya,” katanya.

Bagi Shaimaa, pemakaian tudung memberikan kekuatan dalaman kepadanya.

“Orang melihat kami memakai tudung dan berfikir kami menunggang unta. Tetapi wanita Islam boleh melakukan apa saja yang mereka kehendaki,” katanya.

Kaum wanita di tanah air Ruqaya, iaitu di Bahrain sangat bangga dengan pelari negara terbabit yang menjadi perintis dalam temasya Olimpik itu.

Sesetengah mereka bersepakat untuk mereka dan menjahit tudung khas berbentuk aero dinamik bagi membantu atlet mereka beraksi cemerlang dalam sukan terbabit.

“Di Bahrain anda membesar dengannya,” kata Ruqaya, yang selalu memakai tudung berwarna putih dan merah, menyerupai warna bendera negaranya.

“Kami mempunyai wanita yang menjadi duta, doktor dan juruterbang. Pada saya, ia adalah kebebasan,” katanya.

EMPAT TAHUN UNTUK ATLIT REMAJA BUKTI KEUPAYAAN

ATLIT remaja yang terpilih ke Cawangan Pelapis di Majlis Sukan Negara (MSN) mempunyai masa empat tahun membuktikan keupayaan untuk dinaik taraf ke peringkat tertinggi atau disingkirkan daripada program itu.

Pengarah Cawangan Atlit Pelapis MSN, Jeffri Ngadirin berkata atlit mempunyai dua peluang untuk dinaik taraf ke Cawangan Elit iaitu perlu sekurang-kurangnya menyamai catatan masa atau jarak bagi tempat ketiga di temasya Sukan Sea dalam tempoh empat tahun bernaung di bawah program pelapis.

“Selepas diberikan dua peluang, jika masih gagal mengatasi catatan tempat ketiga dalam sesuatu temasya Sukan Sea, mereka akan disingkirkan,” katanya.

Jeffri berkata setiap tahun, hampir 100 atlit berumur dari 13 hingga 18 tahun diserap ke Cawangan Atlit Pelapis untuk digilap menjadi bintang sukan yang akan mengharumkan nama negara.

Pengambilan atlit, katanya, bukan secara pukal tetapi bergantung kepada kekosongan kuota jenis sukan yang memerlukan pelapis baru.

Kebanyakan mereka dikenalpasti daripada pelbagai program pencarian bakat di negeri-negeri atau dicadangkan sendiri oleh persatuan sukan masing-masing, katanya.

Beliau berkata setiap atlit Cawangan Pelapis menerima elaun bulanan RM300 manakala program Elit RM500 sebulan. - Bernama

ATLIT ELIT BOLEH KE VIENTIANE

SUKAN Sea XXV di Laos tahun depan tidak dipinggirkan sekalipun keutamaan Majlis Sukan Negara (MSN) sekarang ialah memperbaiki persembahan atlit negara pada Temasya Asia dan Komanwel 2010.

Justeru, MSN tidak akan menghalang atlit elit daripada mengambil bahagian pada Sukan Sea XXV di Vientiane itu andai temasya dwi-tahunan itu bertindak sebagai salah satu pentas persediaan menuju Sukan Asia di Guangzhou dan Sukan Komanwel di New Delhi.

"MSN tidak meminggirkan Sukan Sea dan pada masa yang sama juga tidak meletakkannya sebagai keutamaan kami," kata Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong kepada Berita Harian Sukan, semalam. "Sebaliknya jika temasya ini terutama di Laos tahun depan bertindak sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel, MSN akan menggalakkannya.

"Keutamaan MSN ialah memperbaiki persembahan kita pada Sukan Asia dan Komanwel pada 2010 dan juga pada peringkat Olimpik.

"Tetapi sekiranya persatuan dan jurulatih meletakkan Sukan Sea 2009 dalam kalendar persediaan mereka atau jika tidak temasya itu pada tahun itu, maka MSN tidak menghalang atlit elit untuk bertanding selepas memberi pendedahan kepada atlit muda dan barisan pelapis," katanya.

Sejumlah 22 disiplin akan dipertandingkan dengan beberapa sukan utama seperti memanah, lumba basikal, gimnastik dan angkat berat diketepi dan dipersetujui pada mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF), Rabu lalu.

HANYA 22 ACARA DI LAOS

Sukan Sea ke-25 tanpa berbasikal, gimnastik, memanah

SEJUMLAH 22 disiplin akan dipertandingkan pada Sukan Sea XXV di Vientiane, Laos dengan beberapa sukan utama seperti memanah, lumba basikal, gimnastik dan angkat berat tidak ada dalam senarai utama yang dipersetujui pada mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF), yang berakhir kelmarin.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, jawatankuasa penganjur memaklumkan bahawa mereka hanya berkemampuan untuk mengelolakan 22 sukan pada temasya yang akan diadakan pada penghujung 2009 berikutan kekurangan kemudahan sukan.

“Bagaimanapun, ahli gabungan SGF meminta penganjur untuk menimbangkan beberapa acara lagi,” kata Kok Chi.

“Untuk itu, semua wakil persekutuan yang hadir bersetuju untuk menyenaraikan lapan sukan tambahan yang majoritinya dipertandingkan pada peringkat Olimpik untuk dipertimbangkan oleh penganjur.

“Dalam hal ini, penganjur hanya memberi komitmen bahawa mereka akan mempertimbangkan satu atau dua sukan lagi, tidak lebih daripada itu,” kata Kok Chi.

Lapan sukan Olimpik terbabit ialah memanah, bola keranjang, lumba basikal, gimnastik, kenu & kayak, lawan pedang, angkat berat dan mendayung serta sukan tambahan iaitu lumba perahu tradisional.

Pada Sukan Sea XXIV di Korat, kontinjen negara mendominasi acara memanah, bola keranjang (wanita) dan gimnastik.

Sukan yang akan dipertandingkan di Laos ialah olahraga, akuatik (renang dan terjun), badminton, bola tampar, bola sepak, billiard & snuker, judo, karate-do, taekwondo, golf, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, tinju, gusti, wushu, muay thai, pencak silat dan tiga sukan tradisional iaitu renang sirip, sepak bulu ayam dan petanque.

“Ada beberapa negara meminta lebih banyak sukan dimasukkan tetapi saya ada mencadangkan supaya tuan rumah mengurangkan jumlah acara bagi setiap sukan bagi membolehkan sukan-sukan lain dipertandingkan,” kata Kok Chi. “Bagaimanapun semuanya terpulang kepada budi bicara tuan rumah.”

Laos membelanjakan lebih AS$80 juta (RM272 juta) untuk membina kompleks sukan terbaru yang mengandungi stadium utama dengan kapasiti 20,000 penonton, dua stadium tertutup (3,000 penonton), kolam renang tertutup bernilai AS$17 juta (RM57.8 juta) dan gelanggang tenis.

BURU GEMILANG DI LAMAN SENDIRI

Atlit bertaraf Olimpik taruhan Masum

MEMBURU kegemilangan di laman sendiri menjadi aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum) untuk menganjurkan Sukan Universiti Asean ke-14 (AUG 2008) pada Disember depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu Majlis Pelancaran AUG 2008 turut menyatakan bahawa kejayaan atlit dan kecemerlangan penganjuran acara itu menjadi aspirasi kerajaan.

"Sejajar dengan itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk segala agensi kerajaan menggembleng tenaga untuk merealisasikan hasrat terbabit," katanya pada majlis berkenaan pada Jun lalu.

Bagi memastikan penganjuran terbaik, kementerian mengambil langkah untuk menggerakkan seluruh komponen terutama Institusi Pengajian Awam (IPTA), Institusi Pengajian Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Selain itu, semua agensi sukan negara seperti Majlis Sukan Negara turut sama membantu termasuk penyediaan Kompleks Sukan di Bukit Jalil sebagai gelanggang, selain kemudahan sukan yang sudah dan sedang dibangunkan di IPTA yang terpilih.

Sebanyak 22 acara bakal dipertandingkan termasuk bola sepak, olahraga, badminton, memanah dan seni mempertahankan diri membabitkan lebih 5,000 atlit serta pegawai.

Sejak kejohanan ini dimulakan pada 1981, ini adalah kali ketiga Malaysia dipilih oleh Majlis Sukan Universiti Asean (AUSC) selaku tuan rumah selepas kejayaan menganjurkannya pada 1984 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara UiTM) 1993.

Kejohanan dwi tahunan ini dianjurkan bagi membuktikan komitmen AUSC dalam menyemai semangat persahabatan melalui pembabitan negara Asean yang direalisasikan oleh mahasiswa serta generasi muda negara anggota.

AUSC juga membuka ruang dan peluang untuk warga pengajian tinggi Asean untuk saling bersaing, menunjukkan jatidiri dan saling berinteraksi dalam suasana yang sihat dan cergas serta membuktikan universiti menjadi medan terbaik mengembangkan potensi atlit.

Malaysia yang tidak pernah ketinggalan menyertai kejohanan ini, kali ini mempertaruhkan sejumlah atlit berkualiti termasuk pemain yang sudah pun mencipta nama di dalam negara atau pentas antarabangsa menerusi kategori masing-masing.

Selepas penampilan memberangsangkan pada Olimpik 2008 di Beijing, Ogos lalu, atlit seperti Muhammad Marbawi Sulaiman, Wan Khalmizan Wan Abd Aziz, Cheng Chu Sian, ratu taekwondo - Elaine Teo serta Che Chew Chan, yang juga bergelar mahasiswa, akan kembali ke gelanggang dalam kejohanan ini.

Mengiktiraf kejohanan berprestij ini, kerajaan bersetuju untuk menjadikan penganjuran ini sebagai acara rasmi negara bagi kejohanan yang dijadual berlangsung antara 11 hingga 21 Disember ini.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan Publisiti AUG 2008, berkata kejohanan ini bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 13 Disember.

"Acara penutup pula akan diadakan pada 21 Disember oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

PRO&KONTRA: IMPORT ATLIT LUAR WAJAR DIPERTIMBANG UNTUK OLIMPIK

KETIKA saya cuba menghubungi rakan saya yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Sabtu lalu, beliau kebetulan berada di China kerana Sukan Paralimpik di Beijing.

Saya tertarik dengan pandangan Ismail Sabri yang mahu segera mewujudkan program sukan ke arah sasaran memperoleh pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London dan 2016 di Tokyo.

Kenyataannya pada 30 Ogos lalu adalah tepat kerana selepas tamatnya Sukan Olimpik Beijing, usaha untuk memajukan sukan tidak boleh berhenti setakat itu saja.

Menarik lagi, kenyataan menteri berkenaan yang menekankan bahawa sasaran Malaysia kali ini adalah pingat emas berbanding sebelum ini hanya sasaran pingat tanpa mengira warna.

Biarpun keutamaan bagi merealisasikan hasrat negara ialah menerusi badminton, memanah dan berbasikal, namun bidang lain juga mungkin boleh dilihat kemungkinannya.

Sebenarnya dalam merealisasikan usaha ini beberapa cara boleh dilakukan secara bersungguh-sungguh, antaranya ‘mengimport atlit luar’ mewakili Malaysia seperti dilakukan oleh beberapa negara Eropah dan kini merebak ke Singapura.

Dengan menawarkan kerakyatan kepada atlit yang benar-benar berpotensi merangkul pingat, tidak akan merugikan negara.

Selain berpotensi memiliki pingat, pengalaman atlit ini akan mampu menjadi perangsang kepada atlit tempatan. Saya lihat beberapa negara Afrika, Amerika Tengah dan Asia Tengah boleh dijadikan sasaran untuk usaha seperti ini.

Mungkin perkara ini boleh ditimbulkan dan dibincangkan secara terperinci melalui konvensyen sukan yang akan dijadikan sebagai ‘blue print’ dasar sukan yang dijangka diadakan selepas Aidilfitri nanti.

Saya berharap mereka yang dijemput ke konvensyen berkenaan yang terdiri daripada atlit, wakil persatuan sukan dan juga penulis sukan di negara ini mampu melihat kemungkinan berkenaan.

Satu contoh jelas sumbangan pemain luar yang berpengalaman terbukti pada Kejohanan Bola Keranjang Antarabangsa (MIBC) di Stadium Maba malam Jumaat lalu apabila dengan dua pemain jemputan Amerika - Brad Bridgewater dan Jamal Brown - Malaysia berjaya mengalahkan Singapura yang hampir dibarisi semua pemain import.

Berbekalkan semangat pemain tempatan dan hanya dua pemain jemputan, kita mampu menang dengan Singapura yang mulanya dikatakan mudah untuk membaham pasukan kita pada kejohanan itu.

Berbalik kepada usaha menggapai pingat emas ini, saya rasa faktor lain yang penting ialah pengorbanan. Kita lihat saja bagaimana jurulatih Datuk Misbun Sidek yang berkorban meninggalkan isterinya yang sedang sakit untuk menjamin Datuk Lee Chong Wei mencapai pingat perak.

Pengorbanan seperti ini sangat penting bukan saja di kalangan atlit tetapi juga jurulatih dan pegawai. Sikap tabah dan melawan tekanan oleh Misbun ini penting untuk dijadikan ‘azimat’ oleh semua pihak jika sasaran emas seperti yang diharapkan oleh menteri berkenaan mahu dijadikan kenyataan.

Subscribe to this Blog via Email :