Anonymous

TODAY'S HIGHLIGHTS

Wan Khalmizam sedia gegar Grand Prix Asia

WAN Khalmizam akan menjadi sandaran pada kejohanan penamat musim itu berikutan ketiadaan rakan sepasukan, Chu Sian dan Mohd Marbawi.

SELEPAS sekian lama dibayangi rakan sepasukannya yang lebih ternama, kini giliran pemanah Wan Khalmizam Wan Abd Aziz untuk mencuri tumpuan utama pada Grand Prix Asia, Filipina bulan depan.

Wan Khalmizam yang memperbaharui rekod recurve individu negara dengan 674 mata pada Sukan Olimpik bulan lalu, akan menjadi sandaran pada kejohanan penamat musim itu berikutan ketiadaan rakan sepasukan, Cheng Chu Sian dan Mohd Marbawi Sulaiman.

Chu Sian, pemanah pertama untuk mara ke suku akhir recurve individu di Beijing dan Marbawi diberikan rehat oleh jurulatih, Lee Jae-hyung dan tempat mereka akan digantikan Muhd Izzuddin Abdul Rahim, Ariff Farhan dan Nazrin Aizad Mat Nasir .

"Sebenarnya, saya bukannya yang paling berpengalaman dalam kumpulan ini kerana Nazrin lebih senior. Dia sudah banyak kali mewakili negara.

"Sebelum ini, pada Grand Prix Asia sebelumnya di Bangkok, kami berjaya pulang dengan emas," katanya.

Grand Prix Asia di Manila itu juga bertindak sebagai medan pemanas badan buat tiga pemanah pelapis itu yang akan menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Antalya, Turki, 6-12 Oktober depan.

Sejak menceburi sukan memanah secara serius tahun lalu, Wan Khalmizam sudah menimba pelbagai pengalaman dalam kejohanan tahun ini menerusi penyertaannya dalam Kejohanan Asia Indonesia, Kejohanan Dunia Busan, Grand Prix Asia dan Piala Dunia peringkat empat.

Wan Khalmizam berkata, pada bulan Ramadan ini, latihan tetap diteruskan biarpun ia lebih bercorak ringan.



MSN amal sikap 'kedekut' agih bantuan


MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan lebih 'kedekut' dalam pengagihan bantuan kewangan selain hanya mengambil jurulatih yang berwibawa ketika tumpuan kini terjurus ke arah tiga temasya besar - Asia, Komanwel dan Olimpik.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong menegaskan tiada lagi perbelanjaan mewah malah persatuan yang gagal menyerlah akan mendapati pembiayaan mereka dikurangkan secara mendadak.

Pada masa sama, hanya jurulatih yang menunjukkan peningkatan pada persembahan atlitnya akan dikekal manakala yang gagal akan ditamatkan khidmat mereka.

"MSN akan lebih teliti dalam semua perkara terutama sekali dengan keutamaan kita sekarang ini adalah kepada tiga sukan utama iaitu Asia, Komanwel dan Olimpik.

"Tahun ini ada beberapa sukan yang mendapat bantuan kewangan besar daripada MSN tetapi prestasi atlit mereka tidak menyamai dengan pelaburan tinggi yang kita lakukan.

"Bagi persatuan seperti ini, pembiayaan mereka akan dikurangkan dan MSN juga akan meneliti prestasi semua jurulatih.," kata Zolkples.

Selepas berakhirnya temasya Olimpik, MSN kini mengalihkan perhatian kepada mempersiapkan pasukan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel 2010, dengan sasaran untuk memperbaiki pungutan pingat dalam kedua-dua temasya itu.

"MSN akan berbincang dengan persatuan sukan kebangsaan untuk meneliti program masing-masing," kata Zolkples.

"Kita mahu memastikan apa yang kita rancangkan semuanya menjurus kepada persediaan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel."

Tahun ini keadaan kewangan MSN agak nazak apabila terpaksa berhutang dengan beberapa persatuan sukan kebangsaan apabila kantungnya sendiri begitu berkurangan.

Tetapi di sebalik masalah itu, MSN masih dapat menyalurkan jumlah yang mencukupi untuk membiayai program persediaan Sukan Olimpik dan hasilnya kontinjen negara berjaya membawa pulang sebutir pingat perak melalui badminton.



Subscribe to this Blog via Email :