MZI Sports

Pemanah perlu hadapi 'angin pantai' di Filipina


KUALA LUMPUR: Skuad memanah negara perlu bersedia menghadapi saingan Sukan SEA 2019 Filipina dalam cuaca berangin yang dijangka berlaku di lokasi pertandingan berhampiran pantai.
"Kita kena sediakan pemanah kita untuk menghadapi pertandingan dalam keadaan angin kuat. Namun begitu pada September ini ada pertandingan ujian pra Sukan SEA di venue di Filipina.
"Nanti kita boleh anggarkan macam mana keadaan angin di sana kerana angin ini ada dua jenis satu jenis angin yang 'berat' dan satu lagi angin biasa seperti di Bukit Jalil ini," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Lee Jae-hyung selepas kunjungan ketua kontinjen negara (CDM) di padang Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Acara memanah bakal diadakan di Mabalacat dekat Clark, kira-kira 90 kilometer dari ibu kota Manila.
"Selepas September nanti, barulah kita akan aturkan tempat latihan bersesuaian dengan keadaan angin sama seperti di Filipina," katanya.
Jae-hyung yakin skuad memanah negara dapat mengulangi pencapaian lima pingat emas pada temasya kali ini, sama seperti diletakkan MSN.
"Saya percaya mereka boleh sampai ke final biarpun bukan senang cabarannya," katanya.
Beliau berkata Indonesia, Thailand dan juga tuan rumah Filipina dilihat mencipta peningkatan prestasi dan dijangka bakal memberi tentangan sengit buat pemanah negara.
Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad memanah negara mara ke lapan acara akhir sebelum memenangi lima emas.

Subscribe to this Blog via Email :