MZI Sports

Pemanah mampu layak 10 final Sukan SEA


KUALA LUMPUR: Pemanah negara dilihat mampu mara ke final dalam semua 10 acara dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina 30 November hingga 11 Disember ini namun kekal dengan sasaran lima emas.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Lee Jae-hyung meluahkan keyakinan selepas kejayaan skuad negara membawa pulang lima emas pada siri kedua Piala Asia di Taiwan 1-7 Ogos lalu.
"Semua kategori kita ada peluang untuk ke final, daripada situ sahaja kita boleh dapat sekurang-kurangnya 50 peratus (pingat).
"Indonesia tak sertai Piala Asia di Taiwan mungkin disebabkan bajet atau belum bersedia lagi... Sebelum Sukan SEA nanti mereka (Indonesia) akan sertai Kejohanan Asia di Bangkok pada 24-29 November, jadi di sana nanti kita boleh lihat kemampuan mereka," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemanah negara bagaimanapun sudah berjumpa dengan pemanah Indonesia di Kejohanan Dunia di Belanda pada Jun lalu dan juga Piala Dunia di Shanghai Mei lalu.
"Kita sudah tahu secara kasar tahap kita di Asia Tenggara dan kita boleh agak kemampuan mereka. Biarpun keputusan kita hampir dengan Indonesia pada Sukan SEA lepas namun pada kali ini angin yang kuat di Clark, Filipina bakal memberi cabaran kepada semua pemanah," katanya.
Pada temasya di Kuala Lumpur, pemanah negara menguasai sukan itu apabila membawa pulang lima emas, tiga perak dan dua gangsa sementara Indonesia mengekori di tempat kedua dengan empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Subscribe to this Blog via Email :