MOM 2011/13: TAN SRI ABDUL HALIL PILIHAN UTAMA

Dominasi beberapa muka baru dijangka mewarnai mesyuarat pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 18 Jun ini, di mana sasaran utama adalah empat kerusi Naib Presiden badan induk kebangsaan itu. 
 
Tujuh calon bakal bertanding untuk merebut empat jawatan Naib Presiden bagi penggal 2011/2013, dan delegasi MOM kali ini dilihat cenderung untuk mengetengahkan muka baru dengan Ketua Kontinjen Sukan Komanwel 2010, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib yang juga Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) disebut-sebut sebagai pilihan utama.


Prof. Datuk W.Y Chin, Prof. Datuk Dr. Zakaria Ahmad dan Datuk Roy Rajasingham akan mempertahankan jawatan masing-masing, namun mereka bakal berdepan tentangan sengit daripada empat calon berpengaruh, diketuai Abdul Halil, Datuk Maijol Mahap (Persatuan Badminton Malaysia), Laksamana Datuk Danyal Balagopal Abdullah (Kesatuan Ragbi Malaysia) serta Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim dari Kongres Tenpin Boling Malaysia.

Maijol, Naib Presiden BAM mungkin boleh memancing undi dengan menggunakan kelebihannya sebagai wakil Borneo, kerana beliau juga merupakan Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA) yang amat aktif.

Abdul Halil pula memang terkenal di kalangan delegasi, malah popularitinya semakin meningkat selepas bertindak sebagai Ketua Kontinjen yang membawa Malaysia melakar sejarah memenangi 12 pingat emas pada Temasya New Delhi tahun lalu - melepasi sasaran 10 emas yang diletakkan.

Danyal Balagopal amat dikenali ketika memimpin Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sebagai Timbalan Presiden, malah pernah bertanding jawatan Presiden badan olahraga itu pada 2006 tetapi kalah kepada Datuk Seri Shahidan Kassim. Biarpun tidak lagi bersama olahraga, minat terhadap sukan membawa beliau bertanding dalam MOM sebagai wakil ragbi. 

Bagi Mohamad Noor, biarpun kurang dikenali berbanding enam calon lain, namun beliau diiktiraf sebagai pemimpin berkaliber dalam membangunkan sukan boling, malah pernah muncul penerima Anugerah Khas pada Malam Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2007.

"Saya anggap pemilihan kali ini agak meriah apabila terdapat tujuh calon merebut empat jawatan Naib Presiden, malah ada juga kedengaran bahawa beberapa calon baru dikatakan menjadi pilihan delegasi," katanya. 


source: Utusan Malaysia 10/6/2011


Comments

Popular Posts