Anonymous

HAZIQ GEGAR LAOS

PERCATURAN ketua jurulatih memanah kebangsaan, Lee Jae-hyung menghantar barisan kedua untuk bersaing pada siri kedua Kejohanan Grand Prix Asia di Laos yang berakhir Selasa lalu nyata membuahkan hasil lumayan.
Lapan pemanah termasuk empat wanita yang dihantar berjaya membawa pulang tiga pingat emas serta masing-masing dua pingat perak dan gangsa.



Namun paling mencuri tumpuan dan cemerlang adalah pemanah muda berusia 18 tahun, Haziq Kamaruddin yang meraih dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa malah kejayaannya menewaskan pemanah Indonesia, Riau Ega Salsabillah pada acara recurve individu seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Untuk diri saya sendiri, memang kejayaan ini tidak di luar jangkaan terutamanya selepas hanya bersama skuad elit kebangsaan sejak Februari lalu dan menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan (Jae-hyung) dan meletakkan sasaran untuk melakukan yang terbaik.

“Walaupun gugup pada peringkat awal, saya tetap mempraktikkan apa yang diajar semasa latihan yang akhirnya membuahkan kejayaan,” kata Haziq yang kali pertama mewakili negara pada tahun ini selepas Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menghantar empat pemanah utama pada siri pertama yang berlangsung di Thailand.

Dia bagaimanapun tetap menganggap prestasinya masih lagi di belakang pemanah senior yang lain namun tetap menaruh harapan untuk diberi peluang lebih kerap beraksi di kejohanan antarabangsa bagi mencapai lebih banyak kejayaan.


“Sukan Olimpik tahun depan mungkin bukan dalam jangkauan setakat ini, namun aksi di Sukan Sea di Indonesia pada penghujung tahun ini adalah pentas terbaik untuk terus mempamerkan persembahan yang cemerlang,” katanya.

Kejayaan itu pastinya mengurangkan sedikit kritikan kepada skuad memanah kebangsaan yang sebelum ini pulang hampa tanpa sebarang pingat pada beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa.

Secara tidak langsung ia juga memberikan tekanan kepada empat pemanah negara yang tersenarai dalam program Road To London 2012 iaitu Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz, Izzuddin Abdul Rahim dan Arif Farhan Ibrahim Putra yang beraksi pada siri pertama Piala Dunia 2011 di Croatia bermula semalam.

Harian Metro

Subscribe to this Blog via Email :