Anonymous

Haziq, Khairul terpilih ke Itali

PRESTASI cemerlang ketika menyertai kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini menjadi teras pemilihan Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad untuk diberikan kepercayaan bersaing merebut tiket ke Olimpik 2012 pada Kejohanan Dunia di Itali, bulan depan.

Dua pemanah muda negara itu akan bergandingan bersama pemanah berpengalaman, Cheng Chu Sian manakala tiga pemanah yang tersenarai dalam program Road to London 2012 iaitu Izzuddin Abd Rahim, Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz dan Arif Farhan Ibrahim Putra diketepikan.

“Kami membuat keputusan berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan mereka manakala pemanah yang tidak terpilih gagal memberikan aksi diharapkan apabila beraksi di pentas antarabangsa. Ia juga adalah cadangan ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Abdul Hamid Hasan.

Sejak awal tahun ini, Haziq dan Khairul Anuar mempamerkan persembahan membanggakan pada beberapa kejohanan yang disertai termasuk meraih emas di sirkit kedua Grand Prix Asia kedua di Laos.

Malah ketika aksi di Laos itu, gandingan Haziq dan Khairul Anuar bersama Fazli Hisyam Fauzi berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan meraih 228 mata dalam acara berpasukan untuk mengatasi rekod lama, 224 mata yang dilakukan Chu Sian, Wan Mohd Khalmizam dan Mohd Marbawi Sulaiman pada Kejohanan Dunia 2007.

Kejohanan Dunia di Torino itu yang bermula dari 3 hingga 10 Julai ini adalah saingan pertama menawarkan tiket untuk melayakkan diri ke Olimpik 2012 dengan lapan pasukan terbaik dan 22 pemanah teratas layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Sekiranya gagal, barisan pemanah negara masih mempunyai dua peluang untuk meraih tiket itu iaitu sirkit ketiga Piala Dunia di Amerika Syarikat pada Ogos dan Kejohanan Asia di Iran, pertengahan Oktober.


Subscribe to this Blog via Email :