Anonymous

MEMANAH KEKAL DALAM PROGRAM ROAD TO LONDON 2012

Keputusan untuk mengekalkan memanah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Road to London 2012 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam, meskipun pada awalnya terdapat ura-ura sukan tersebut bakal digugurkan ekoran prestasi hambar pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2010.

Menurut Ahmad Shabery, memanah masih mempunyai peluang untuk menunjukkan keupayaan sebenar apabila beraksi pada Kejohanan Dunia di Torino, Itali (3-10 Julai) dan Kejohanan Asia di Tehran, Iran dari 17-24 Oktober ini. 

Kedua-dua kejohanan itu merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik London.


"Kita masih memberi peluang kepada memanah untuk menunjukkan keupayaan mereka, cuma yang berlaku adalah pertukaran dalam senarai atlet. (Mohd.) Fazli Hisham Fauzi digugurkan dan diganti dengan (Muhammad) Izzuddin Abdul Rahim.
 
Menurut Ahmad Shabery lagi, walaupun bola sepak dan hoki belum pasti dapat melayakkan diri ke Olimpik, namun kementerian tidak boleh menunggu sehingga sukan itu layak dan barulah memberi bantuan, sebaliknya mereka harus dibantu mengharungi proses kelayakan.

Dengan kemasukan hoki, bola sepak dan menembak, bermakna terdapat 77 atlet kini berada di bawah program Road to London 2012, dan itu turut mendorong kepada penambahan kos daripada RM16 juta sebelum ini kepada RM26 juta, iaitu kenaikan RM10 juta. 

Ketika program diumumkan tahun lalu, ia hanya melibatkan 19 atlet dari badminton, lumba basikal dan memanah, namun dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh penembak Malaysia, skuad hoki dan bola sepak ia turut menyebabkan kenaikan jumlah atlet yang terlibat.

Bibiana Ng akan mengetuai senarai penembak yang mendapat tempat dalam program Road to London 2012 bersama Nursuriyani Mohd. Taibi, Nur Ayuni Abdul Halim, Mohd. Hasli Izwan Amir Hassan dan Mohd. Hafiz Adha, manakala skuad hoki, yang meraih pingat perak Sukan Asia dan bola sepak, juara Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010 masing-masing menampilkan 25 nama. 

Sementara itu, Ahmad Shabery turut menjelaskan, dengan memburu pingat emas Olimpik dan mencari sebanyak mungkin tiket di London itu menjadi sasaran terbesar, Sukan SEA di Indonesia, November ini kini bukan lagi keutamaan Malaysia. 

Beliau berharap semua pihak memahami seandainya Malaysia tidak menyerlah dalam kutipan pingat emas di Indonesia nanti kerana terdapat kemungkinan beberapa atlet utama dalam Road to London 2012 tidak akan diturunkan jika temasya itu bertembung dengan program mereka. 

"Keutamaan kita pada 2011 adalah mencari sebanyak mungkin tiket ke Sukan Olimpik dan memastikan sasaran memburu emas di London 2012 terus berada di landasan, jadi mungkin dalam melakukan persiapan ke arah itu ada beberapa atlet utama yang tidak akan bertanding di Sukan SEA.

"Saya mahu rakyat tahu bahawa Sukan SEA bukan lagi sasaran utama kita, harap mereka akan faham seandainya kutipan pingat kita nanti kurang baik. Jika pada 2010 kejayaan kita diukur kepada pencapaian Sukan Asia dan Komanwel, untuk 2011 pula ia diukur berdasarkan seramai mana atlet kita berjaya layak ke Sukan Olimpik," kata Ahmad Shabery lagi.

Subscribe to this Blog via Email :