Anonymous

METEKSAN ARCHERY WORLD CUP STAGE 1 2010, POREC CROATIA


Skuad pemanah tak sasar pingat di Croatia, Turki

TIADA pingat disasarkan pada dua aksi di pentas Piala Dunia sama ada di Porec, Croatia, bulan depan, mahu pun di Antalya, Turki pada Jun ini, tegas ketua jurulatih memanah kebangsaan, Lee Jae-hyung. 

Pengakuan itu berasaskan aksi tiga pemanah muda acara recurve, Fazli Hisham Fauzi dan Arif Farhan Ibrahim Putra selain pemanah wanita, Shahira Abdul Halim yang disifatkan masih `baru berjinak-jinak’ di medan antarabangsa.Baginya, saingan pembukaan musim ini di Porec, 4 hingga 8 Mei depan bagaikan medan percubaan buat tiga pemanah muda yang menyertainya untuk kali pertama.Pendedahan saingan di peringkat antarabangsa itu bagaimanapun dijangka terjejas apabila tiga pemanah muda itu bakal terlepas aksi pusingan kedua di Antalya, 7-11 Jun ini. 

Ini berikutan komitmen mereka dalam Sukan Malaysia (Sukma XIII) di Melaka yang berlangsung dalam tempoh yang sama. 

“Saingan di Antalya mungkin hanya diwakili Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizam (Wan Abdul Aziz) dan S Anbarasi yang hanya beraksi dalam acara individu, tanpa penyertaan dalam acara pilihan, berpasukan,” kata Jae-hyung. 

Lantas, hanya pusingan ketiga di Ogden, Amerika Syarikat, 3 hingga 7 Ogos ini dilihat tempoh paling awal untuk mensasarkan pingat terutama dalam acara berpasukan. 
Dan ujian buat Jae-hyung menjadi lebih sukar menjelang tempoh sebelum suku ketiga tahun ini apabila terpaksa memilih tiga pemanah terbaik bagi mengisi slot terhad ke Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober ini.

 

Khalmizam mampu beraksi di Porec

KEJOHANAN memanah Piala Dunia yang bermula Mei ini bukan sekadar pentas penilaian aksi pemanah Olimpik, Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz, tetapi sirkit lima pusingan itu turut dijadikan medan ujian buat dua pemanah muda. 

Pada penilaian ketua jurulatih, Lee Jae-hyung, Wan Mohd Khalmizam, yang kerap dikaitkan dengan prestasi tidak menentu selepas Olimpik Beijing 2008, sudah berkeupayaan beraksi di pentas antarabangsa.Keputusan beraksi di sirkit pertama di Porec, Croatia pada 4 hingga 8 Mei ini, sekali gus menampakkan pemanah berusia 24 tahun kelahiran Kelantan itu bagai sudah pulih daripada masalah kemahiran kecil dan keyakinan diri.“Memang Khalmizam dipersiapkan menjelang Piala Dunia di Porec,” kata pengendali kelahiran Korea Selatan itu. 

“Pada latihan, nampak prestasi dia semakin meningkat. Tapi, latihan dan pertandingan apa lagi di peringkat antarabangsa adalah perkara berbeza.” 

Rentetan pengecualian Wan Mohd Khalmizam daripada aksi berpasukan di saingan antarabangsa bagi mengembalikan keyakinan dan `sentuhan’ yang hilang bermula daripada Sukan Sea di Laos sehingga perlawanan ujian Komanwel di New Delhi, baru-baru ini. 

Pada masa sama, aksi dua pemanah muda yang diserap menyertai barisan elit awal tahun ini, Fazli Hisham Fauzi, 20, dan Arif Farhan Ibrahim Putra, 19, akan diuji dalam lima siri pertandingan Piala Dunia termasuk di Antalya, Turki (7-11 Jun), Ogden, Amerika Syarikat (3-7 Ogos), Shanghai, China (31 Ogos-4 September) dan Edinburgh, England (18-19 September). 
“Empat pemanah ini juga akan beraksi di Sukan Asia manakala sebelum Ogos, kita akan pilih tiga pemanah terbaik untuk beraksi di Sukan Komanwel yang hanya menyediakan tiga slot,” kata Jae-hyung.
 

 

PASUKAN MALAYSIA

Jurulatih

Lee Jae Hyung

Norizham Ishak

Recurve Lelaki

Cheng Chu Sian

Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz

Arif Farhan Ibrahim Putra

Fazli Hisyam Fauzi

Recurve Wanita

Anbarasi Subramaniam

Noor Aziera Taip

Shahira Abd Halim




Subscribe to this Blog via Email :