'Tiada isu pelapis, elit ke Laos'
NSA mangsa percakaran antara MOM dan MSN atlit negara ke Sukan Sea
KETIKA Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bercakaran mengenai isu atlit ke Sukan Sea XXV Laos, persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang tersepit di tengah-tengah, tampak mengambil pendekatan berasaskan kepada peraturan yang sudah ditetapkan.
Bagi tiga sukan utama iaitu badminton, olahraga dan memanah - antara sukan yang dipertandingkan di peringkat Asia, Komanwel dan Olimpik - pemilihan atlit ke Sukan Sea bergantung kepada melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan MOM dan juga sokongan daripada jurulatih masing-masing.
Oleh itu, tidak kira sama ada atlit itu elit ataupun pelapis, asalkan mereka berhasil melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan MOM dan juga mendapat sokongan jurulatih - sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel 2010 - atlit terbabit akan disenaraikan untuk beraksi di Laos.
“Sebenarnya sebahagian daripada barisan pelapis kami yang beraksi pada Sukan Sea di Korat sudah mencapai tahap elit,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ganga Rao. “Justeru tidak timbul soal pelapis ataupun elit ke Laos.
“Selain itu, pemilihan atlit juga berdasarkan kepada sokongan jurulatih. Sekiranya, jurulatih berpendapat pemain utama negara perlu menyertai Sukan Sea sebagai sebahagian daripada persediaan untuk temasya Asia dan Komanwel, sudah tentu persatuan akan mempertimbangkannya.”
Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim lebih lantang berkaitan isu berkenaan dengan menyatakan badan induk itu akan hanya menghantar atlit elit yang melepasi syarat kelayakan ke Laos.
“Bagi olahraga, Sukan Sea bukan tempatnya untuk mendapatkan pendedahan,” kata Karim. “Untuk pendedahan ada pertandingan seperti peringkat remaja Asia Tenggara ataupun peringkat sekolah-sekolah dan kejohanan terbuka tetapi bukannya Sukan Sea.
“Tahap Sukan Sea adalah tinggi, menyamai tahap Asia dan juga Olimpik. Adalah tidak patut kita menghantar skuad pelapis yang tidak melepasi syarat kelayakan, semata-mata untuk memberikan mereka pendedahan.
“Kalau kita hendak menghantar barisan pelapis, mereka perlu mempunyai standard yang sudah ditetapkan MOM dan bukan asalkan mereka dalam skuad pelapis dihantar ke Sukan Sea. KOAM akan menghantar atlit terbaiknya yang melepasi ataupun menghampiri syarat kelayakan bergantung kepada persetujuan Jawatankuasa Pemilihan MOM,” katanya.
Bagi Setiausaha Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (PMKM) Abdul Hamid Hassan, mereka berada dalam situasi sukar dan terhimpit antara menyokong MOM ataupun MSN.
“Persatuan berada di tengah-tengah dan sebenarnya kedua-dua MOM dan MSN amat penting kepada kami,” kata Abdul Hamid. “Bagi PMKM, kami tidak ada masalah menghantar pelapis kerana tahap mereka adalah tinggi tetapi semua bergantung kepada kelayakan yang sudah ditetapkan.
“Kami yakin ia tidak akan memberikan masalah kepada kami berhubung isu ini.”