Anonymous

HIGHLIGHTS

MSN membisu buat NAAM tertunggu-tunggu




TIRAI tahun baru 2009 mengundang kebimbangan Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM) apabila masih belum menerima jawapan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai permohonan lanjutan kontrak tiga jurulatih kelahiran Korea Selatan berakhir, kelmarin.

Dua daripada senarai itu ialah pengendali skuad elit iaitu Lee Jae-hyun (ketua jurulatih) dan Kim Jae Rack (jurulatih pelapis elit) sementara Bae Jae Kyung selaku jurulatih pelapis, yang berpangkalan di MSN Keramat.

Setiausaha Kehormat NAAM, Hamid Hassan, berkata pihaknya amat berharap MSN melanjutkan khidmat ketiga-tiganya atas kesungguhan dan komitmen dipamerkan mereka hingga memanah merangkul deretan kejayaan gemilang sepanjang 2008.

“Permohonan sudah dihantar kepada MSN sejak pertengahan November lalu tapi, belum ada perkembangan mengenainya. Jurulatih Lee sendiri pernah bertanyakan mengenai perkara ini kepada saya, tapi tiada apa dapat saya maklumkan.

“Namun menurutnya, beliau akan terus mengendalikan sesi latihan seperti biasa sekalipun jawatan belum dipastikan. Perkara itu membuktikan kesungguhannya menggalas tanggungjawab demi memajukan sukan memanah negara,” katanya.

Tumpuan nyata terarah kepada Jae-hyun, yang mencipta sejarah melayakkan Malaysia buat julung kali ke Sukan Olimpik menerusi pemanah wanita, Moon Redee Sut Txi di Athens 2004.

Sejarah sekali lagi mengiringi sentuhan emas Jae-hyun, yang dilantik secara rasmi sebelum Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 apabila membimbing trio lelaki, Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz ke Olimpik Beijing, Ogos lalu.

Trio recurve berpasukan lelaki negara mara ke suku akhir di Beijing selain Chu Sian, 22, layak ke saingan tahap sama ketika beraksi di Lapangan Memanah Olimpik Green.

Mengulas kepentingan penyambungan kontrak ketiga-tiganya, Hamid berkata, semua program dirangka NAAM menjurus kepada pertambahan bilangan pemanah negara di Sukan Olimpik London 2012.


Subscribe to this Blog via Email :