Anonymous

NAAM PERKENALKAN SISTEM RANKING

Pemilihan pemanah negara dijangka lebih sengit mulai tahun depan.

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memperkenalkan sistem ranking bagi menilai keupayaan setiap atlit mereka menerusi kejohanan Sirkit Kebangsaan Malaysia yang julung kali diadakan tahun depan.

Berpandu kepada jadual pertandingan 2009 dikeluarkan badan induk itu, empat sirkit kejohanan diperkenalkan bermula sirkit pertama di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah pada 8 sehingga 12 April, kedua (Universiti Putra Malaysia, Serdang, 22 hingga 28 Jun), ketiga, Melaka (12 sehingga 16 Ogos) dan akhir di Kuala Lumpur pada 7 sehingga 8 November depan.

NAAM memperkenalkan sistem ini bagi menilai keupayaan setiap pemanah sebelum mereka di pilih mewakili negara dalam sebarang kejohanan di peringkat antarabangsa, khasnya Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Mengikut format lama, pemanah dipilih berdasar kepada kejayaan dan keupayaan dalam kejohanan tempatan yang diadakan sepanjang tahun dan mereka yang terbaik diletakkan dalam beberapa kategori sebagai pemanah kumpulan pemanah elit, pelapis dan remaja.

Terkini, NAAM mempunyai hampir 30 pemanah termasuk tiga pemanah elit iaitu Cheng Chu Sian, Muhamad Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd Khalmizan yang mencatat sejarah layak ke suku akhir acara berpasukan di Olimpik Beijing, Ogos lalu.

Pengurus Sukan Memanah Cawangan Pelapis di Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Nor Ezuan Mohd Ariffin, mengalu-alukan langkah diambil persatuan bagi berlaku adil kepada semua pemanah di samping meningkatkan keupayaan pemanah negara.

"Sebagai sukan yang mempunyai prospek menyumbang pingat di Olimpik langkah yang diambil tepat pada masanya dan mengharapkan pemanah mengambil peluang menyertai setiap kejohanan itu nanti," katanya yang juga pengurus skuad remaja ke Festival Olimpik Remaja Australia di Sydney, Januari ini.

Menurutnya pada akhir kejohanan nanti, persatuan dapat mengenalpasti sekurang-kurangnya 32 pemanah terbaik dari seluruh negara - sekali gus memudahkan pihaknya memilih pemanah terbaik mewakili negara pada kejohanan bakal menyusul.



“Ke Arah Kegemilangan Sukan Memanah”

Subscribe to this Blog via Email :