MZI Sports

NAAM gembira prestasi pemanah di Turki (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tidak terkilan walaupun barisan pemanah negara terlepas peluang meraih gangsa dalam dua acara pada Piala Dunia Turki, beberapa hari lalu.

Sebaliknya NAAM melihat kejayaan mara sehingga pentas suku akhir dan aksi penentuan gangsa pada siri kedua Piala Dunia adalah sesuatu yang membanggakan. 

"Berbanding sebelum ini, ada peningkatan ketara dipamerkan. Saya boleh sifatkan mereka berada di landasan tepat menjelang Sukan Asia.

"Tiada masalah mereka gagal mencapai pingat kerana lebih utama mampu mencapainya apabila bersaing di Sukan Asia nanti. Kita mahu mereka mencapai kemuncak prestasi di Indonesia nanti," jelas Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan. 

Pada saingan di Antalya itu, Malaysia yang menghantar pemanah recurve lelaki cemerlang mara sehingga penentuan gangsa dalam acara berpasukan dan individu.

Bagaimanapun trio negara dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli akur kecundang kepada lawan dari Great Britain. 

Acara individu menyaksikan Khairul Anuar memberikan saingan sengit kepada juara Olimpik dari Korea Selatan, Oh Jin Hyek sebelum tewas 7-3.

"Saya lihat pemanah negara terutamanya dalam acara berpasukan, dalam landasan tepat untuk berada pada prestasi ketika kita meraih perak di Sukan Asia 2014," tambahnya.

Sumber: Berita Harian; Rabu; 30 Mei 2018
Oleh Azlan Muhammad Zain

 

Subscribe to this Blog via Email :