Anonymous

Fikir positif ke Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR - Atlet kebangsaan yang bakal menyertai Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, Oktober ini perlu bersikap positif dan yakin dengan usaha untuk mencapai sasaran 10 pingat emas.

Itu saranan Ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2010, Tan Sri Abdul Halil Mutalif.

Menurut Tan Sri Abdul Halil, nilai-nilai baik itu bagaimanapun akan terbatas jika mereka hanya berfikir bertanding sekadar untuk mengambil bahagian dan bukan memperoleh kemenangan.

''Kemahiran atlet kita setanding dengan atlet antarabangsa dan tidak ada masalah untuk mereka mempamerkan prestasi yang baik jika sentiasa berfikiran positif.

''Kita jangan berfikiran jika jumpa pasukan yang lebih kuat atau juara kita sudah mengaku kalah, itu tidak patut ada dalam pemikiran atlet kita kerana ini semua akan menjejaskan potensi mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas meninjau persediaan atlet kebangsaan di Stadium Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Tan Sri Abdul Halil berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh atlet kebangsaan selain berharap mereka dapat melakukan latihan yang berterusan untuk menjadi yang terbaik.

''Saya lihat semua yang berlatih di stadium ini semua bersemangat.

''Mereka juga memberitahu saya akan melakukan yang terbaik dan saya fikir terbaik adalah pingat emas untuk negara,'' katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung jaminan keselamatan kepada atlet kebangsaan yang akan berada di India menjelang Sukan Komanwel, beliau berkata, keselamatan atlet yang hadir menyertai sukan tersebut sentiasa diberi perhatian.

''Saya tidak mempunyai kapasiti untuk membincangkan berkenaan isu keselamatan secara mendalam dan apa yang mampu saya katakan ialah keselamatan mereka sentiasa terjamin.

''Apa yang penting setiap arahan yang diberikan oleh pihak penganjur sukan berkenaan perlu dipatuhi oleh setiap atlet,'' jelasnya.


Subscribe to this Blog via Email :