Anonymous

NEWS


Salam harap sertai lebih banyak kejohanan


HARAPAN pemanah paralimpik negara, Mohd Salam Sidik (gambar) untuk mempertahankan emas Sukan Para Asean yang diraihnya di Korat, tahun lalu, berkecai apabila sukan itu tidak dipertandingkan dalam edisi kelima di Kuala Lumpur, pada 15-19 Ogos depan.

“Kecewa memanglah kecewa, apatah lagi apabila tidak berpeluang untuk membuktikan kehebatan di tanah air sendiri,” kata pemanah berusia 26 tahun itu.

Menurutnya, kekurangan penyertaan menjadi punca sukan itu digugurkan termasuk beberapa sukan lain, menjadikan hanya 11 sukan dipertandingkan berbanding 14 di Korat.

Sukan yang bakal dipertandingkan ialah olahraga, renang, badminton, ping pong, angkat berat, catur, bowling, pelayaran, tenis berkerusi roda, bola keranjang berkerusi roda dan bola tampar duduk.


Bagaimanapun, dia yang beraksi di Sukan Paralimpik Beijing tahun lalu, tidak mahu terbawa-bawa perasaan negatif itu sebaliknya mahu terus bersedia untuk menghadapi Sukan Paralimpik London 2012.

“Saya masih perlu menjalani latihan bermula minggu depan dan sasaran saya adalah untuk berjaya dalam Kejohanan Memanah Para Dunia di Republik Czech, Ogos depan.

“Selain itu saya juga bakal menyertai beberapa kejohanan di Korea dan India untuk mengukuhkan prestasi saya,” katanya.

Apa yang menjadi perhatian pemuda kelahiran Ulu Tiram, Johor, itu ialah keperluan untuk menyertai lebih banyak kejohanan bagi membolehkannya layak ke Paralimpik London berdasarkan ranking, berbanding kelayakan sebelum ini yang dinilai menerusi pungutan mata.

Justeru, dia perlu bersedia lebih awal dan menyertai banyak kejohanan berbanding sebelum ini bagi memastikan berpeluang mewakili negara di Paralimpik London.

Ketika di Paralimpik Beijing, dia gagal mara ke suku akhir seperti dilakukan di Athens apabila tewas kepada pemanah Korea Selatan, Jung Young-joo.



Subscribe to this Blog via Email :