Anonymous

NEWS

Trio Memanah Diberi Amaran Gugur

BAHANG serta tekanan ke atas trio negara – Cheng Chu Sian, Wan Khalmizan Wan Abd Aziz dan Muhd Marbawi Sulaiman – kian memuncak ketika mendapat teguran keras untuk meningkatkan kualiti masing-masing atau berdepan kemungkinan tersisih daripada program memanah ke arah Olimpik London 2012. 

Pada firasat ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung, tiada jaminan tempat buat mereka sekalipun bagi kejohanan antarabangsa dalam jangka masa terdekat ini atau ke Sukan Sea, akhir tahun ini. 

Malah, ketika ini, beliau sendiri rancak mencatur tiga pelapis elit termasuk Izzuddin Abd Rahim, Arif Farhan Ibrahim Petra yang disifatkan berpotensi melangkah jauh dan ada ramuan menggugat trio berkenaan.

"Aksi Muhd Marbawi kekal konsisten. Cuma Chu Sian dan Wan Khalmizan tidak punya masa yang cukup terhadap latihan kerana terikat dengan belajar. Mungkin, ketika mereka cuti belajar pada Mei dan Jun baru latihan sepenuh masa dengan tumpuan kawalan busar. 

"Jika keadaan (aksi) mereka (trio memanah) stabil, maka, mereka akan dapat pergi," katanya merujuk kepada kejohanan besar yang disasarkan tahun ini iaitu Kejohanan Memanah Dunia pada September ini yang hanya disertai tiga pemanah dan empat orang wakil di Sukan Sea Laos. 

Sementara itu, dalam usaha mempertingkatkan aksi, semua 17 pemanah negara dikehendaki menyertai Sirkit Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 sehingga 12 April ini sebagai saingan pemanas badan dan pendedahan.

Selepas itu, tumpuan akan terarah pula kepada tiga pusingan Piala Dunia yang bermula, Mei ini di Croatia sebelum diteruskan pada Jun dan terakhir, Ogos.

Subscribe to this Blog via Email :