Anonymous

HIGHLIGHT

Negara kurang srikandi memanah

KUALA LUMPUR - Jika prestasi terkini skuad memanah lelaki negara menjadi ukuran, jurulatih kebangsaan, Lee Jae-Hyung sudah pasti tersenyum lebar dengan tahap peningkatan yang ditunjukkan mereka.


Sayangnya, prestasi baik para pemanah lelaki itu masih belum memuaskan hati Jae-Hyung berikutan tiadanya imbangan kecemerlangan di antara pemanah lelaki dan wanita negara ini.


Jae Hyung mengakui, betapa kekurangan tenaga srikandi yang menceburi sukan ini menyebabkan pasukan negara ketandusan pemanah berpotensi untuk digilap menjadi setanding dengan pasukan lelaki.

"Jika dahulu kita menyandarkan harapan kepada Mon Redee Sut Txi untuk untuk menyinar di peringkat antarabangsa, kini kita benar-benar ketandusan bakat baru untuk digilap.


"Setakat ini terdapat empat pemanah wanita yang menjalani latihan dengan skuad nasional di MSN tetapi salah seorang dari mereka, Nur Amirah Mohamed, 16, tidak dapat menjalani latihan penuh disebabkan masih bersekolah," katanya.

Selain Amirah, tiga lagi rakannya yang menjalani latihan bersama skuad memanah kebangsaan adalah Ambarasi Subramaniam, Noor Aziera Taip dan Irzahanie Abu Samah.


Jae-Hyung menambah, pihaknya sebelum ini pernah cuba untuk mengambil dua pelatih baru yang dilihat berpotensi di kalangan pelapis tetapi gagal disebabkan kedua-dua mereka terpaksa memberi komitmen kepada pelajaran kerana bakal mengharungi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Kami memerlukan sekurang-kurangnya lapan pemanah wanita untuk menjalani latihan bersama bagi membentuk pasukan yang mantap.


"Kini saya cuma ada empat tetapi saya tetap yakin skuad wanita negara ini akan mampu menyinar satu hari nanti," kata jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu.

Ditanya mengenai perkembangan srikandi di bawah jagaannya, Jae-Hyung berkata matlamatnya kini adalah untuk mempersiapkan anak didiknya itu bagi menghadapi Sukan Asia di China dan Sukan Komanwel di India tahun depan.


"Aksi mereka pada Sukan SEA Laos Disember ini turut diberi perhatian. Saya akan cuba sedaya upaya membantu mereka menampilkan aksi terbaik bagi memastikan pemergian mereka ke sana tidak sia-sia," ujarnya.



Pemanah kita lebih sedia

KUALA LUMPUR - Tatkala aksi hambar bola sepak tempatan mengundang seribu satu persoalan, lain pula masalah di benak jurulatih memanah negara dari Korea Selatan, Lee Jae-Hyung.


Masalah yang ditanggung Jae-Hyung sebenarnya mungkin mampu menjadi penawar buat rakyat Malaysia yang masih berduka dengan aksi longlai skuad bola sepak kebangsaan.


Masakan tidak, ketika diminta menamakan pemanah terbaik negara kala ini, jurulatih itu seakan teragak-agak berikutan prestasi para pemainnya kini berada di tahap yang amat memuaskan dan lebih kurang sama.


"Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd. Khalmizam Wan Abd. Aziz serta beberapa pemain lain semuanya berada di prestasi terbaik. Agak sukar untuk menentukan yang terbaik di kalangan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.


''Sekalipun tidak menyertai sebarang kejohanan sepanjang lima bulan selepas Olimpik, prestasi pemanah kita masih di tahap yang baik dan saya lebih banyak menumpukan kepada latihan fizikal bagi memastikan mereka sentiasa bersedia,'' ujarnya.


Ditanya mengenai kejohanan-kejohanan yang bakal menjadi tumpuan skuadnya sepanjang tahun ini, Jae-Hyung meletakkan Kejohanan Memanah Dunia di Korea selain Sukan SEA di Laos sebagai fokus utama.


"Kami akan bermula dengan Grand Prix Asia di Bangkok Februari depan sebelum mengorak langkah lebih jauh pada kejohanan-kejohanan lain seperti Kejohanan Memanah Dunia di Korea sehinggalah Sukan Sea di Laos.


"Setakat ini saya masih belum mahu menetapkan sebarang matlamat tetapi pastinya kami akan melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan pingat," katanya.


Pada Sukan Olimpik Beijing tahun lalu, skuad memanah negara beraksi cemerlang sekalipun gagal membawa pingat dengan Chu Sian, Wan Khalmizam dan Muhammad Marbawi mara ke suku akhir acara berpasukan sebelum tewas kepada Itali.


Chu Sian turut mencipta kejutan dengan menewaskan pemegang rekod Olimpik, Lee Chang-Hwan dari Korea Selatan dalam acara individu sebelum tumbang kepada pemanah Rusia, Badenov Bair di separuh akhir.


Jae Hyung menambah, setakat ini masih belum ada pemanah yang akan pasti dihantar ke Laos dan pemilihan mereka hanya akan dilakukan dalam masa dua atau tiga bulan sebelum kejohanan itu.


"Saya tidak ragu dengan kemampuan para pemanah kita. Cuma saya kini sedang berusaha memantapkan pasukan dari segi mental dan keyakinan mereka.


"Mengenai pemilihan pemanah ke Laos, masih terlalu awal untuk menentukannya dan saya akan memilih di kalangan yang terbaik dalam masa dua atau tiga bulan sebelum sukan itu berlangsung," tambahnya.


Subscribe to this Blog via Email :