MENYEDARI potensi menghadirkan kilauan pingat di Sukan Olimpik 2012, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) segera mewujudkan Program Pelapis Kebangsaan berpangkalan di Kompleks Sukan Negara, Keramat sejak bulan lalu.
Program mengumpulkan 12 pemanah remaja terbaik negara hasil pencarian bakat menerusi Program Pelapis Serantau membabitkan tiga zon, selatan, utara dan tengah itu diilhamkan Presiden NAAM, Tan Sri Abdul Khalil Abdul Mutalif bersandarkan kejayaan tiga pemanah lelaki layak ke Olimpik Beijing.
Setiausaha Agung NAAM, Hamid Hasan, berkata 12 pemanah remaja program itu membabitkan enam lelaki dan enam wanita kini di bawah bimbingan dua jurulatih, Osman Abdul Wahab dan seorang pengendali kelahiran Korea.
“Program Pelapis Serantau diwujudkan bagi memastikan skuad elit tidak ketandusan pemanah berkaliber kerana pemanah terbaik program ini akan diserap membarisi pasukan elit remaja.
“Setakat ini ia masih terlalu awal, tapi seorang atau dua pemanah program ini akan menyertai skuad elit remaja ke Kejohanan Memanah Remaja Dunia di Antalya, Turki, 6-12 Oktober depan,” katanya.
Trio recurve berpasukan lelaki dibarisi Cheng Chu Sian, Mohd Marbawai Sulaiman dan Mohd Khalmizan Aziz mara ke suku akhir Sukan Olimpik Beijing selain Chu Sian layak ke saingan tahap sama ketika beraksi di Lapangan Memanah Olimpik Green.
Kejayaan itu mengilhamkan Chef de Mission Olimpik Beijing, Datuk Ho Koh Chye agar memanah disenaraikan antara tiga sukan termasuk badminton dan berbasikal yang perlu diberi penekanan khusus demi menamatkan badi kemarau emas di temasya London.
Mengulas keputusan ‘post-mortem’ Olimpik Beijing, Hamid menjangkakan ia akan diketahui minggu depan iaitu sebaik Khalil pulang daripada mengerjakan umrah.
“Setakat ini pihak saya sedang menunggu kepulangan Khalil dan tiada apa yang boleh saya maklumkan mengenainya. Apapun, secara peribadi saya gembira dengan prestasi pemanah negara apabila nyaris menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia,” katanya.
Skuad senior dijadual menyertai Sirkit Grand Prix Asia Ketiga di Manila, Filipina, bulan depan.