Tinggal Chu Sian pikul cabaran
|
HANYA Cheng Chu Sian menjadi satu-satunya pemanah negara mara ke pusingan ketiga acara individu selepas dua lagi wakil Malaysia tumbang dalam saingan kalah mati di sini, semalam.
Chu Sian menang dengan catatan 109 menewaskan lawannya dari Australia, Matthew Gray yang sekadar mengumpul 101 mata.
Wakil tunggal negara itu mencatat empat panahan tepat berbanding Gray yang sekadar mendapat satu panahan sempurna.
Sementara itu, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Khalmizam Wan Abd. Aziz tersungkur kepada lawan masing-masing selepas memberikan cabaran dalam dua pusingan pertama, semalam.
Muhammad Marbawi kalah tipis 106-107 kepada lawannya, Chen Szu Yuan dari Taiwan manakala Wan Khalmizam juga menerima nasib yang sama apabila sekadar mencatat 105 berbanding lawannya, Alexandru Bodnar dari Romania mengumpul 106 dengan empat panahan tepat.
Kekalahan dua wakil negara itu menjadikan sasaran mencari pingat dalam acara memanah kini disandarkan kepada Chu Sian yang akan beraksi dalam pusingan ketiga di Lapangan Memanah Olimpik Green, esok.
Sources : Utusan Malaysia