Hanya Chu Sian berjaya mara ke pusingan ke-3
CHENG Chu Sian menjadi pemanah tunggal negara yang mara ke pusingan ketiga acara recurve individu selepas dua rakan sepasukan, Wan Khalmizam Wan Abd Aziz dan Muhammad Marbawi Sulaiman tersingkir awal di Padang Memanah Olimpik Green, semalam.
Chu Sian yang mahu membuktikan sesuatu selepas beraksi hambar pada suku akhir acara berpasukan Isnin lalu, membuka cabarannya dengan menjinakkan Gary Matthew dari Australia 109-101 pada pusingan pertama.
Pemanah berusia 22 tahun berasal dari Pulau Pinang itu kemudian meneruskan bidikan cemerlangnya dengan mengetepikan lawannya dari Finland, Matti Hatava dengan kelebihan tujuh mata.
Chu Sian mencatat 110 mata berbanding Hatava 103, untuk menempah pertemuan dengan peserta Korea Selatan, Lee Chang-hwan yang menundukkan Yusuf Ergin 117-107 di pusingan ketiga, esok.
Wan Khalmizam, pemanah negara paling konsisten pada acara berpasukan Isnin lalu, gagal meneruskan aksi cemerlangnya apabila tewas kepada Alexandru Bodnar dari Romania 106-105 di pusingan pertama.
Pemanah berasal dari Kelantan itu tampil dalam acara itu dengan menduduki ranking kelima manakala Chu Sian dan Muhammad Marbawi, masing-masing di kedudukan 26 dan 27.
Cabaran Muhammad Marbawi turut berakhir di halangan pertama apabila tewas 107-106 di tangan peserta Taiwan, Chen Szu Yuan.
Ismail Sabri masih mengharap
MENGAKUI agak kecewa dengan persembahan kontinjen negara yang masih gagal menjelmakan sebarang pingat di Sukan Olimpik Beijing setakat ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob masih mengharapkan pemain badminton negara mampu memberi sumbangan.
Katanya, perseorangan utama negara, Lee Chong Wei dan pasangan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sememangnya menjadi sandaran utama untuk menamatkan kemarau pingat yang kali terakhir dimenangi di Atlanta apabila skuad badminton membawa pulang satu perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Rashid Sidek.
“Memang agak mengecewakan persembahan atlit lain setakat ini tapi kita juga perlu adil kepada atlit negara yang rankingnya lebih rendah tetapi harus menentang lawan yang lebih handal di Olimpik.
“Sebab itu, kita dari awal menyandarkan harapan kepada badminton, basikal dan memanah yang agak malang apabila tersingkir seawal peringkat suku akhir acara berpasukan yang menjadi sasaran utama,” katanya.
Daripada 11 atlit yang yang sudah mengakhiri aksi dalam acara masing-masing, hanya empat rekod kebangsaan dapat dicipta menerusi Amirul Hamizan Ibrahim (angkat berat 56 kilogram), Daniel Bego (renang 200 meter gaya bebas) dan trio memanah - Wan Khalmizam Wan Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhammad Marbawi Sulaiman (70m recurve berpasukan). Wan Khalmizan juga mencipta rekod baru individu kebangsaan.
Namun, Ismail Sabri berkata, dia tidak menyalahkan kegagalan skuad memanah yang tampil kali pertama di Olimpik dan terpaksa bersaing dalam ‘situasi asing’ di mana tempat duduk penonton diadakan di sebelah kiri kanan berbanding di belakang mereka seperti kebiasaannya.
Ditanya bagaimana jika kontinjen kali ini gagal mendapatkan pingat, Ismail Sabri berkata, seandainya itu berlaku, semua pihak wajar menerima kegagalan berkenaan.
“Gagal tetap gagal, tidak ada kegagalan bergaya. Dari situ, kita perlu melihat kelemahan dan kekurangan diri tanpa perlu cuba memberikan sebarang alasan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya bercadang mengadakan Sukan Mini Olimpik peringkat kebangsaan yang mempertandingkan acara yang tersenarai dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
“Kita perlu menyiapkan diri untuk temasya Olimpik 2012 dan sebagai permulaan, kita akan adakan Sukan Mini Olimpik sebagai pendedahan dan mencari bakat baru.
“Dari situ, kita boleh mendapatkan jurulatih yang baik untuk membimbing bakat muda negara,” katanya yang mengakui pergeseran dalaman persatuan boleh mengakibatkan penaja bimbang untuk menghulur bantuan.
Sources : berita Harian