Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menjelaskan tiga
atlet compound yang tidak menyertai skuad negara tahun ini disebabkan
mereka tidak bersetuju dengan kandungan kontrak yang ditawarkan Majlis
Sukan Negara (MSN).
Ketiadaan tiga pemanah itu diakui secara tidak langsung turut
memberikan kesan kepada kekuatan keseluruhan skuad compound dengan
tumpuan utama kepada Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.
Persediaan skuad memanah compound negara untuk menghadapi program
latihan 2019 dikejutkan dengan tindakan tiga atlet terbabit yang
mengambil keputusan untuk tidak menyertai skuad negara.
Mereka ialah Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip — trio
yang memenangi pingat emas acara berpasukan dalam Sukan SEA Kuala
Lumpur2017.
Juwaidi dan Kin Lip juga memenangi gangsa acara berpasukan di pentas Sukan Asia Indonesia tahun lalu.
Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hassan, menjelaskan
pihaknya tidak menerima sebarang jawapan daripada ketiga-tiga pemanah
itu berhubung kontrak latihan baru yang ditawarkan kepada mereka.
“MSN telah memberikan surat tawaran kepada mereka, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
“Apa yang kami ketahui sekarang adalah mereka telah menarik diri.
“Berdasarkan syarat yang ditetapkan tahun ini, semua atlet perlu
menjalani proses pemilihan memandangkan kami mahu mencari atlet terbaik
untuk mewakili Malaysia.
“Jika mereka gagal menghadiri sesi pemilihan, mereka akan digugurkan secara automatik,” katanya.
Tindakan ketiga-tiga pemanah tersebut secara tidak langsung
menyaksikan mereka tidak mengambil bahagian dalam sesi pemilihan pemanah
compound yang dianjurkan oleh NAAM hari ini.
Antara yang kelihatan dalam sesi itu adalah pemanah berpengalaman wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.
“Saya agak terkejut dan berasa sedih memandangkan trio itu merupakan pasukan utama.
“Tanpa mereka, kami turut berasa tempang.
“Ketua pasukan turut meninggalkan kami dan saya bersama rakan-rakan lain akan mengetuai pasukan buat masa ini,” katanya.
Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan berbincang dengan
pemanah compound lelaki negara yang mengambil keputusan untuk tidak lagi
terlibat bersama skuad kebangsaan.
Berbeza dengan pemanah recurve, bahagian compound kebiasaannya
menyaksikan atlet diberikan kontrak serta elaun separuh masa dan ini
telah diamalkan sejak persediaan ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Mereka akan diberikan penerangan lebih lanjut tentang program
latihan dan pertandingan yang akan mereka lalui serta pertandingan yang
telah dipersetujui dalam jawatankuasa kerja,” ujar Pengarah Bahagian
Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.
“Empat orang lagi tidak hadir dan kami akan berhubung dengan mereka
bagi mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai keperluan dan
kehendak mereka.
“Kali ini, kami masih kurang jelas mengapa mereka memilih untuk tidak
meneruskan latihan dengan cara yang telah kami gunakan sejak sebelum
ini.”