Anonymous

Khairul Anuar umpama Hang Tuah




KETUA kontinjen negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menganggap pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad ibarat Hang Tuah kerana menampilkan semangat juang tinggi seperti mana dimiliki pahlawan Melayu itu.
Beliau yang jelas gembira dengan pencapaian Khairul Anuar semalam memuji sikap tidak gentar pemanah negara itu ketika menang 6-5 menerusi panahan penentuan sewaktu beraksi menentang Xing Yu dari China di pusingan kedua.

“Saya lihat dia tidak takut. Walaupun ramai penyokong China memberikan sokongan kepada pemanah mereka, Khairul Anuar tidak berganjak daripada terus memberikan tumpuan terhadap panahannya,” katanya di Lord’s Cricket Ground.


“Saya tidak tahu apa yang ada dalam dirinya, tapi dia tak ubah macam Hang Tuah.” Justeru, Ahmad Sarji menaruh harapan Khairul Anuar akan terus memberikan persembahan terbaik ketika bertemu Larry Godfrey dari Great Britain apabila aksi pusingan ketiga diadakan pada Jumaat ini.



Sementara itu, pengurus pasukan, Tan Sri Halil Mutalib pula mengakui kekuatan mental pemanah berusia 21 tahun itu menakjubkan.

“Jika dia terus memberikan persembahan seperti yang dipamerkan ketika menentang pemanah China itu, saya rasa tiada sebab mengapa dia tidak boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Cheng Chu Sian menjadi pemanah terbaik negara di Olimpik apabila pernah mara sehingga ke suku akhir di Beijing, empat tahun lalu. 

Subscribe to this Blog via Email :