Anonymous

Pemanah elit paralimpik negara meninggal dunia

 
KUALA LUMPUR - Pemanah elit paralimpik negara, Mohd Salam Sidik meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) tengah hari.


Pengurus Sukan, Unit Penyelarasan Program Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohamad Nadzri Zakaria berkata pemanah berusia 28 tahun itu mengadu sakit kepala dan berehat di kediaman atlet Casa I, MSN sebelum disedari tenat oleh rakanya.

"Pihak hospital masih belum dapat mengenal pasti punca kematian. Beliau meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari tadi dalam perjalanan ke HUKM dan jenazah akan dihantar ke kampung halamannya di Sungai Tiram, Johor selepas mendapat kebenaran pihak hospital," katanya kepada Bernama hari ini. Mohamad Nadzri berkata Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit dan kelihatan sihat serta menjalani latihan seperti biasa. "(Mohd) Salam adalah seorang atlet yang berdedikasi dan mempunyai impian besar dan kehilangan ini adalah merupakan satu kehilangan besar buat semua warga atlet paralimpik dan juga warga MSN cawangan paralimpik," katanya. 

Seorang kenalan rapat Mohd Salam, yang hanya mahu dikenali sebagai Hana, berkata Mohd Salam pernah memberitahunya tentang impian untuk mendapat pingat di Paralimpik London 2012 sebaik beliau berjaya mendapat kelayakan ke temasya berprestij itu di Kejohanan Memanah Para Dunia 2011 di Torino, Itali baru-baru ini. 

"(Mohd) Salam memberitahu saya beliau lebih bersedia untuk cabaran kali ini dan ingin menebus kekecewaan setelah gugup ketika beraksi di pusingan suku akhir Paralimpik Beijing pada 2008," katanya. Hana berkata Allahyarham seorang yang rajin dan tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-citanya. Sepanjang kerjayanya sebagai atlet, Mohd Salam pernah beraksi di Sukan Paralimpik Athens (2004) dan Beijing (2008).


Subscribe to this Blog via Email :