HANYA berbaki tempoh sebulan sahaja untuk empat pemanah recurve elit negara memburu tempat beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi, India pada Oktober ini, ketika senarai nama tiga yang layak akan diserahkan kepada badan induk, selewat-lewatnya bulan depan.
Tempat seperti pasti buat pemanah senior, Cheng Chu Sian yang beraksi konsisten ketika dua slot lain masih terbuka dengan pengalaman di Sukan Olimpik bukan jaminan buat seorang lagi senior, Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz.
“Aksi Wan Mohd Khalmizam semakin baik, tetapi jurulatih (Lee Jae-hyung) akan memilih dua terbaik di kalangan empat pemanah elit,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM), Hamid Hassan.
Tiga pemanah muda lain yang masih dalam penilaian prestasi ialah Izzuddin Abdul Rahim, Arif Farhan Ibrahim Putra dan Fazli Hisham Fauzi.
Sekalipun dua sirkit Piala Dunia – di Ogden, Amerika Syarikat (3 hingga 7 Ogos) dan Shanghai, China (31 Ogos hingga 4 September) – dijadikan medan ujian, namun hakikat di atas kertas, tempoh hanya berbaki kira-kira dua minggu ketika setiap negara disyaratkan menghantar nama peserta di Sukan Komanwel pada bulan depan.
Bagaimanapun, peluang nampak agak terbuka buat empat pemanah terbabit memburu satu lagi aksi di Sukan Asia di Guangzhou pada 12 hingga 27 November ini dengan tambahan satu slot, menjadikan empat keseluruhan buat pemanah negara.
Apa lagi, NAAM ketika ini bersikap terbuka untuk menghantar lima pemanah elit menjalani latihan pendedahan di Korea Selatan pada September ini tanpa pengkhususan sasaran tidak hanya buat Sukan Komanwel dan Asia, sebaliknya juga pada kejohanan pelbagai peringkat pada masa akan datang.