Anonymous

17 atlet pikul cabaran Para Asia di Guangzhou

KUALA LUMPUR - Seramai 17 atlet paralimpik kebangsaan telah menempah tiket untuk beraksi pada Sukan Para Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China dari 12-19 Disember ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd. Safrushahar Yusoff berkata, jumlah itu dijangka bertambah selepas semua kejohanan kelayakan bagi pemilihan ke Guangzhou selesai September ini.

"Matlamat Cawangan Paralimpik ialah untuk meningkatkan kedudukan atlet dalam senarai ranking dunia bagi melayakkan diri ke kejohanan Dunia mengikut sukan pada tahun 2010 dan 2011 seterusnya untuk ke Sukan Para Asia hujung tahun ini," katanya, semalam.

Beliau berkata, prestasi di Sukan Para Asia juga akan menentukan kelayakan atlet untuk beraksi di Temasya Paralimpik Dunia di London pada 2012, selepas berakhirnya Sukan Olimpik pada tahun itu.

Mohd. Safrushahar berkata, 11 atlet powerlifting yang telah melepasi kelayakan akan beraksi di Kejohanan Majlis Paralimpik Antarabangsa dalam acara itu bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, pada 25 hingga 31 Julai ini.

"Bagi sukan olahraga, enam atlet telah berjaya melepasi MQS. Pihak kita akan menghantar mereka untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga IPC Dunia di New Zealand Januari tahun hadapan," katanya.

Sebagai persiapan ke Sukan Para Asia, seramai 64 atlet elit paralimpik negara khususnya daripada acara renang, olahraga, powerlifting dan memanah kini giat menjalani latihan sepenuh masa di MSN.

Sementara itu, atlet bagi acara badminton dan tenpin boling berlatih secara separuh masa di MSN. Kebanyakan mereka menjalani latihan di tempat masing-masing. - Bernama

Subscribe to this Blog via Email :