PEMENANG pingat emas pertama acara memanah Sukan Sea, Mohd Marbawi Sulaiman tidak mengiringi perjuangan Malaysia menyertai Kejohanan Memanah Asia 2009 di Bali, Indonesia, bermula hari ini selepas beralih ke bidang kejurulatihan.
Dengan tugasan tidak rasmi sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan, Lee Jae-hyung, juara berganda acara recurve individu dan berpasukan Sukan Sea Vietnam 2003 itu dilanda kemerosotan prestasi sejak membantu Malaysia layak ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik Beijing 2008.
Ia berlanjutan hingga lebih setahun dan dengan peningkatan prestasi pemanah remaja, Jae-hyung berasakan tidak wajar kepakaran dan pengalaman Marbawi terbiar begitu saja.
“Ketika ini, dia akan membantu saya mengendalikan latihan skuad kebangsaan. Perkara ini sudah diajukan kepada NAAM (Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia) namun pelantikannya belum secara rasmi,” katanya.
“Saya fikir, pengalaman luas Marbawi di peringkat antarabangsa patut digunakan untuk setidaknya membantu melahirkan pemain remaja berbakat. Ini langkah tepat buatnya kerana dia bergelar atlit sepenuh masa,” kata Jae-hyung.
Setiausaha Eksekutif NAAM, Muhammad Zul Izzi Manaff mengesahkan perkara itu dengan Marbawi bakal dihantar menjalani kursus kejurulatihan tahap pertama selama sebulan di Mesir, bermula 27 November ini.
“Perlantikannya sebagai penolong jurulatih belum rasmi. Malah, dia tidak mempunyai kelayakan khas dalam bidang kejurulatihan. Justeru, NAAM harap kehadiran Marbawi dalam bidang ini membantu kejayaan skuad negara pada masa depan,” katanya.
Mengenai cabaran di Indonesia, Izzi berkata, pihaknya tidak mensasarkan sebarang sasaran, sama seperti ditetapkan Jae-hyung, selain menjadikan kejohanan terbesar benua itu sebagai persiapan Sukan Sea Laos, bulan depan.
Malaysia menghantar lapan pemanah ke Indonesia iaitu Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz, Zulkifli Mohd Tahil dan Nazrin Aizat Abd Rahim sementara wanita diwakili S Anbarasi, Nur Aziera Taib, Nur Amirah Mohamed serta Fepriyenita Anuar.