Pemanah negara pulang tangan kosong
KUALA LUMPUR - Harapan untuk menyaksikan trio memanah lelaki kebangsaan menyerlah di Kejohanan Dunia meleset apabila mereka tunduk kepada India dalam pusingan acara recurve berpasukan di Ulsan, Korea Selatan semalam.
Malaysia yang diwakili oleh Cheng Chu Sian, Wan Khalmizan Aziz dan Zulkifli Tahil tewas dengan hanya mengumpul 207 mata, menurut laman web Persekutuan Memanah Antarabangsa (FITA).
Manakala lawan mereka dari India yang diwakili oleh Rahul Banerjee, Mangal Singh Champia dan Jayanta Talukdar meraih 217 mata untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir bertemu China.
Jumaat lepas, trio kebangsaan itu layak ke saingan utama hari ini dengan mengumpul 3,925 mata untuk menduduki tempat ke-14 daripada 33 pasukan.
Kekalahan ini juga menyebabkan skuad kebangsaan yang diwakili oleh trio itu dan tiga pemanah wanita pulang tangan kosong setelah tersingkir awal pada acara individu semalam. - BERNAMA
Trio recurve pulang kosong
MALAYSIA menamatkan Kejohanan Dunia 2009 di Ulsan, Korea Selatan tanpa sebarang pingat apabila harapan terakhir, trio recurve lelaki tewas, 207-217 kepada India pada kelompok 16 negara terakhir, semalam.
Berdepan India, Malaysia, yang dibarisi Cheng Chu Sian, Wan Khalmizan Wan Abd Aziz dan Zulkifli Tahil gagal mempamer persembahan terbaik apabila catatan mereka muncul paling rendah pada pusingan penyingkiran.
India, yang diletak antara pilihan bagaimanapun terkandas di suku akhir selepas tewas kepada China. Final esok menemukan juara dunia dan Sukan Olimpik, Korea Selatan menentang Perancis.
Penyelaras Memanah MSN, Azani Hashim, berkata pihaknya akan mengatur mesyuarat ‘post mortem’ sebaik skuad kebangsaan pulang ke tanah air, Khamis ini.
Cabaran Malaysia berakhir di Ulsan
HARAPAN Malaysia untuk meraih kilauan pingat dalam Kejohanan Memanah Dunia berakhir apabila pasukan lelaki tewas kepada India dalam pusingan Olimpik acara berpasukan recurve di Ulsan, Korea Selatan semalam.Trio Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizan Aziz dan Mohd Zulkifli Tahil mengutip 207 berbanding gandingan India yang dianggotai Rahul Banerjee, Mangal Singh Champia dan Jayanta Talukdar yang memungut 217 mata.
India seterusnya akan bertemu China di suku akhir.
Terdahulu, trio negara melayakkan diri ke pusingan pertama, Jumaat lalu di tangga ke-14 daripada 33 pasukan yang bertanding selepas mengutip 3,925 mata.
Dalam acara individu, Chu Sian beraksi cemerlang namun tewas, 111(26)-111 (28) kepada wakil Kazakhstan, Oibek Saidiyev pada pusingan kedua.
Peringkat sama turut menyaksikan rookie, Mohd Zulkifli Tahil tewas, 103-111 kepada pemanah Australia, Kim Sky.
Paling mengecewakan pemanah Olimpik Beijing, Wan Khalmizan yang masih bergelut dengan masalah prestasi apabila tewas, 100-103 seawal pusingan pertama kepada wakil Britain, Laurence Godfrey.