Anonymous

MINI OLIMPIK MALAYSIA 2009

KEPUTUSAN

NEWS

Fazli tunjuk gah sekat pemanah elit

PENGUASAAN pemanah Olimpik, Cheng Chu Sian dileburkan pemanah pelapis elit, Fazli Hisham Fauzi yang menang mengejut pada separuh akhir memanah Mini Olimpik di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.


Pemanah berusia 19 tahun dari Terengganu menang tipis ke atas seniornya dengan catatan 107-106 untuk mara ke final bertemu seorang lagi pemanah Olimpik, Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz.

“Saya memang tak sangka mampu melangkah sejauh ini. Pada awalnya, saya sekadar mensasarkan sehingga suku akhir,” kata Fazli Hisham. “Malah, pada mulanya, saya agak gementar, apa lagi berdepan lawan seperti Chu Sian.

“Namun, saya sekadar mengikut pesanan jurulatih - memanah seperti ketika latihan. Alhamdulillah, saya dapat mengawal gementar. Saya tidak rasa apa-apa...saya cuma membuat panahan,”

Menyertai pelapis kebangsaan pada 2007, anak kedua daripada tiga beradik itu, berharap dapat melakukan yang terbaik sambil cuba mengikut kaedah yang diajar jurulatih semasa latihan, menjelang final bertemu seniornya, Wan Mohd Khalmizam.

Sementara itu, Chu Sian menyifatkan tiada yang silap pada aksinya semalam, ketika kemenangan berpihak kepada pemanah muda.

“Semua orang boleh menang atau kalah. Saya tidak rasa apa-apa kerana perkara seperti ini memang boleh berlaku. Apa yang penting, saya sudah melakukan yang terbaik.”

Terdahulu, pada saingan yang sama, Wan Mohd Khalmizam terpaksa berhempas pulas menewaskan pemanah remaja, Nazrin Aizad Mat Nasir 10-9, yang mengheretnya sehingga penentuan tiebreak kedua selepas kedua-dua terikat 101-101.


Khalmizam kurang puas hati


KETIKA tuah tampak menyebelahi Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz yang berjaya menempah tempat di perlawanan akhir acara memanah Mini Olimpik, hari ini, ia jelas belum cukup memuaskan hati pemanah Olimpik negara itu.

Apa lagi Wan Mohd Khalmizam terpaksa mengharungi dua penentuan tiebreak sebelum menang 10-9. Sebelum itu, dia dan Nazrin Aizat Mat Nasir terikat 101 untuk mengheret penentuan tiebreak satu panah yang kemudian masih terikat 9-9 bagi memaksa penentuan kedua.

“Ini hanya 30 peratus daripada kemampuan saya. Malah, mata yang diraih masih belum mampu melayakkan diri ke Sukan Sea,” katanya yang menghormati keupayaan lawan yang bakal ditentang di final hari ini, Fazli Hisham Fauzi selepas menewaskan pemanah utama negara, Cheng Chu Sian di separuh akhir.

“Bagi saya peluang di final hanya 50-50,” katanya yang mengakui Fazli Hisham kian mempamerkan aksi meningkat sejak Sirkit Memanah Terbuka Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Februari lalu.

Lantas, sasaran awal yang ditetapkan menjelang final adalah untuk meraih kembali `zon selesa’ bagi membolehkannya terus menempatkan diri pada kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

Chu Sian gagal ke babak akhir


KUALA LUMPUR - Dua atlet memanah Olimpik negara mengalami nasib yang berbeza dalam acara recurve lelaki Mini Olimpik, Cheng Chu Sian terpaksa akur apabila terkandas di separuh akhir manakala Wan Mohd. Khalmizan Wan Abd. Aziz bakal beraksi di saingan akhir hari ini.

Acara yang bermula sejak pagi di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu menyaksikan pertarungan sengit antara atlet elit dan pelapis tidak ketinggalan juga atlet paralimpik.

Bagaimanapun, apa yang mencuri perhatian ialah kekalahan tipis Chu Sian kepada atlet pelapis, Fazli Hisham Fauzi dalam separuh akhir 107-106.

Chu Sian yang sebelum ini menyingkirkan atlet paralimpik negara, Mohd. Salam Sidik di pusingan kedua peringkat kalah mati dan seorang lagi atlet kebangsaan Aiman Hafizuddin Kamarzaman (suku akhir) gagal meneruskan kecemerlangan di separuh akhir.

Wan Khalmizan pula terpaksa bergelut untuk mara ke saingan akhir apabila menang berdasarkan mata penentuan selepas terikat 101 sama dengan Nazrin Aizad pada peringkat separuh akhir.

Sebelum itu, Wan Khalmizan berjaya menjinakkan cabaran atlet pelapis Selangor Muhd. Fareez Rosli di pusingan kedua peringkat kalah mati, sebelum menyingkirkan rakan sepelatih, Mohd. Zulkifli Tahil di peringkat suku akhir.

Seorang lagi pemanah kebangsaan yang beraksi di Beijing tahun lepas, Mohd. Marbawi Sulaiman tersingkir di pusingan pertama peringkat kalah mati selepas tewas kepada seorang lagi atlet paralimpik, Zulkifli Mat Zin (107-95).

Bagi acara wanita, S. Anbarasi menepati ramalan untuk mara ke saingan akhir selepas mengetepikan Nur Amirah Mohamed 101-96 di separuh akhir.

Lawan Anbarasi di peringkat akhir hari ini ialah Noor Aziera Taib selepas pemanah elit itu menewaskan Nor Huda Azida Zolkifli dari Pulau Pinang 109-92.

Hari gembira buat Fazli Hisham


KUALA LUMPUR - Tidak pernah terlintas di fikiran pemanah pelapis negara, Fazli Hisham Fauzi untuk menewaskan pemanah Olimpik, Cheng Chu Sian tetapi semalam dia berjaya melakukannya dalam saingan separuh akhir recurve Mini Olimpik.

Atlet kelahiran Terengganu itu, berjaya menewaskan Chu Sian dengan 107-106 seterusnya berjaya melangkah ke peringkat akhir yang berlangsung hari ini di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil menentang seorang lagi pemanah Olimpik, Wan Mohd. Khalmizan Wan Abd. Aziz.

Menurutnya, dia sangat gembira dapat menewaskan Chu Sian walaupun di akhir saingan fikirannya agak terganggu.

"Apa yang saya lakukan ialah menumpukan perhatian sepenuhnya dan mengikut segala pesanan yang disampaikan oleh jurulatih," katanya.

Jelas Fazli, sebelum saingan bermula lagi dia sudah berazam untuk memberikan persembahan terbaik termasuk dalam saingan akhir hari ini.

"Pencapaian terbaik saya sebelum ini ialah memenangi satu pingat perak dan gangsa di SUKMA Terengganu tahun lepas.

"Manakala sepanjang bertemu Chu Sian saya tidak pernah mencatat sebarang kemenangan," katanya.

Bagi atlet elit wanita, Noor Aziera Taib, dia sangat gembira berjaya mara ke saingan akhir recurve dan tidak menyangka prestasinya meningkat mendadak.

"Saya berazam akan cuba mempamerkan aksi terbaik dalam saingan akhir esok (hari ini) dan mengikut segala arahan jurulatih," katanya.



Subscribe to this Blog via Email :