BERAKSI pada Sukan Olimpik sememangnya menjadi idaman dan kebanggaan kepada setiap atlet di seluruh dunia.
Masakan tidak, temasya sukan terbesar di dunia itu menjanjikan persaingan yang cukup hebat selain dikelilingi atlet-atlet terbaik dunia bagi menunjukkan kejaguhan masing-masing.
Namun, tidak semua atlet mampu menanggung tekanan ketika beraksi pada Sukan Olimpik tetapi bagi pemanah negara, Wan Mohd. Khalmizam Wan Abd. Aziz, tiada apa yang mampu menggoncang semangatnya untuk memberi yang terbaik pada temasya sukan berprestij itu.
Buktinya, Khalmizam diiringi Cheng Chu Sian dan Muhammad Marbawi Sulaiman berjaya membuka mata ramai pihak apabila mampu mara ke suku akhir acara berpasukan di Beijing meskipun ia adalah penampilan pertama mereka.
SUKAN memanah bukanlah satu sukan yang popular di Malaysia. Bagaimana Khalmizam boleh menceburi sukan ini?
KHALMIZAM: Pada asalnya saya tidak langsung terfikir untuk menceburi sukan ini. Mulanya ayah mendedahkan sukan tenis kepada saya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) di Johor.
Di sekolah itu, seorang jurulatih tenis dari Rusia menasihatkan agar saya menyertai acara sukan lain berikutan keadaan fizikal saya tidak sesuai untuk tenis ketika itu.
Saya kemudiannya beralih ke sukan judo sebelum mula menjinakkan diri di dalam sukan memanah atas ajakan seorang rakan. Bermula dari situ, karier saya dalam bidang sukan ini terus berkembang.
Khalmizam merupakan seorang pelajar universiti dan pada masa yang sama juga merupakan atlet harapan negara. Bagaimana anda menjalani kehidupan selain pembahagian masa dilakukan?
Sememangnya ia menuntut komitmen dan kesabaran yang amat tinggi. Saya mempunyai jadual harian sendiri dan ia dibuat setelah mendapatkan pandangan jurulatih mengenai kesesuaian jadual itu.
Rutin harian saya dipenuhi dengan sesi pembelajaran. Setiap pagi saya akan ke kuliah sebelum berada di lapang sasar untuk menjalani latihan pada waktu petang dan kadang kala saya juga perlu berkejar ke kelas pada malamnya.
Meskipun kehidupan saya dipenuhi jadual yang padat, saya tidak langsung menyesal. Ini adalah pengorbanan yang perlu saya lalui untuk menjadi seorang atlet yang berjaya di peringkat dunia.
Tidakkah anda rasa tertekan untuk menjalankan dua tugas dalam satu masa?
Tidak dinafikan, sememangnya wujud tekanan dalam diri terutamanya apabila menghadapi peperiksaan dan kejohanan besar seperti Sukan Olimpik tahun lepas.
Tekanan itu biasanya akan bertambah dengan harapan menggunung rakyat Malaysia selain sasaran yang ditetapkan untuk dicapai.
Justeru saya perlu sentiasa tenang, tidak terikut dengan perasaan dan perlu pandai bermain dengan masa.
Apabila menghampiri sesuatu kejohanan, saya akan melebihkan latihan bagi memastikan saya tidak gugup untuk beraksi tetapi jika berhadapan dengan peperiksaan, pastinya pelajaran menjadi keutamaan agar saya dapat bersedia sepenuhnya.
Bagaimana anda melihat perkembangan sukan memanah di Malaysia?
Perkembangan sukan memanah di Malaysia sememangnya agak perlahan jika dibandingkan dengan sukan-sukan yang lain. Mungkin ia disebabkan oleh peralatan yang mahal dan sukar dicari. Namun kita masih punya jalan untuk mengembangkan sukan ini.
Lihat saja sukan skuasy. Dahulunya ia bukanlah sukan yang popular di Malaysia tetapi dengan munculnya Ong Beng Hee, Azlan Iskandar dan Datuk Nicol David sebagai idola sukan itu, ia kini semakin diterima ramai dan selalu menjadi sebutan.
Seperti mereka, saya juga bercita-cita mahu menjadi seperti itu. Muncul sebagai antara pemanah terbaik dunia sekali gus mempopularkan sukan memanah di kalangan rakyat Malaysia.
Bagi merealisasikan cita-cita itu, saya menyasarkan untuk meraih pingat pada salah satu daripada empat kejohanan dunia yang akan saya sertai tahun ini.
Saya juga mahu menjadikan Sukan Olimpik 2012 di London sebagai medan untuk saya mengutip pingat sekali gus mengangkat nama Malaysia dalam sukan ini.
Tidak ramai atlet Malaysia mampu melayakkan diri ke temasya sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik. Anda pula bukan sahaja melayakkan diri malah turut melakukan pencapaian mengagumkan. Bagaimana anda melakukannya?
Tiada jalan lain untuk berjaya selain usaha yang berterusan, kerajinan serta fokus terhadap segala yang dilakukan. Tanpa semua itu, anda tidak akan mampu untuk mencapai kejayaan.
Saya memberikan komitmen yang tinggi terhadap sukan ini. Setiap hari, saya akan pastikan ada waktu terluang untuk saya berlatih bagi memantapkan bidikan.
Jurulatih juga banyak membantu. Tanpa kehadirannya, tidak mungkin saya mampu sampai ke tahap ini. Banyak yang saya pelajari daripadanya dan sikapnya yang profesional membuatkan saya selesa untuk beraksi di bawah tunjuk ajar beliau.