KEBANGKITAN pemanah remaja cetus harapan besar negara untuk raih pingat pada Olimpik London 2012. |
Tambah pengalaman persiapan hadapi Sukan Olimpik 2012 di London
PEMANAH muda negara yang akan menyertai Festival Olimpik Remaja Australia di Sydney Januari depan, akan turut dihantar bersaing di Kejohanan Remaja Dunia di Ogden, Utah, Amerika Syarikat, pada Julai 2009.
Pengurus Sukan Memanah Cawangan Pelapis di Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Nor Ezuan Mohd Ariffin, berkata kedua-dua kejohanan itu penting bagi memastikan skuad negara mempunyai cukup persediaan menjelang Sukan Olimpik London 2012.
"Kedua-dua kejohanan itu juga penting kerana menjadi landasan untuk melayakkan pemanah negara ke Sukan Olimpik Remaja di Singapura 2010 nanti," katanya.
Enam pemanah yang dikenal pasti untuk misi ke Sydney adalah antara 12 pemanah pelapis kebangsaan yang kini menjalani latihan pusat di MSN Bukit Jalil.
Mereka ialah Mohd Faiz Farhan Abd Wahab, Haziq Kamaruddin, Mohd Amirul Faiz Khairul (lelaki) dan pemanah wanita, Fepriyenita Anuar, Nurul Amalina Rosney, Nor Amirah Mohamad.
"Ini kali kedua Malaysia dipilih menyertai kejohanan dua tahun sekali itu berdasar kepada keupayaan yang ditunjukkan oleh pemanah negara di peringkat antarabangsa khususnya di Sukan Olimpik Beijing 2008," katanya yang juga Pengurus Pasukan.
"Selain itu, prestasi yang memberangsangkan oleh pemanah elit negara seperti Mohd Marbawi Sulaiman, Wan Mohd Khalmizan dan Cheng Chu Sian dalam kejohanan yang sama dua tahun lalu, menjadi asas kuat kepada tuan rumah memilih Malaysia sebagai peserta pada kejohanan ini,' katanya.
Katanya, kecuali Fepriyenita Anuar yang sudah mendapat pendedahan awal pada Kejohanan Remaja Dunia di Antalya, Turki Mei lalu, baki pemanah lain adalah muka baru dalam kejohanan peringkat antarabangsa.
"Sebagai sukan yang mempunyai prospek menyumbang pingat di Olimpik nanti, kita mengharapkan pemanah berkenaan mengambil peluang untuk menyahut cabaran kerajaan yang menaruh harapan tinggi kepada sukan memanah," katanya.