Anonymous

TRIO MEMANAH KELUAR BERBURU



PEMANAH Malaysia (dari kiri), Muhammad Marbawi Sulaiman, Wan Mohd Khalmizan dan Cheng Chu Sian berbincang sesuatu semasa menjalani latihan di Archery Field, Beijing Olympic Green. - Foto Hasan Ismail



SELEPAS beberapa aksi kurang memberangsangkan atlit negara di Sukan Olimpik ini, harapan pingat pertama sesudah kempunan dalam dua temasya terdahulu, kini disandarkan kepada trio memanah yang akan memulakan aksi suku akhir acara berpasukan mereka pagi ini.

Malah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong mengharapkan Wan Khalmizam Wan Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhammad Marbawi Sulaiman dapat mencipta kejutan awal dengan menyumbang pingat yang dicari-cari, tanpa mengira warnanya hari ini.

“Segala yang dirancang sudah menjadi setakat ini termasuk mengelakkan diri berada undian sama dengan Korea.

“Mereka sudah berada di suku akhir dan saya percaya mereka mampu meneruskan kemaraan dan dengan aksi konsisten, kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada mereka,” katanya.

Trio negara akan memulakan aksi menentang pemenang pertemuan Kanada dan Itali jam 11.40 pagi ini untuk memburu tiket ke separuh akhir dan final yang akan diadakan petang ini juga.

Begitupun, Zolkples tidak mahu pemanah negara meletakkan tekanan tambahan kepada diri sendiri selepas persembahan yang agak baik dalam aksi penentuan ranking di Padang Memanah Olimpik Green, kelmarin.

“Apa yang penting adalah aksi konsisten kerana ketiga-tiga pemanah perlu memberi sumbangan untuk mengutip mata. Lihat saja semalam (kelmarin) apabila secara tiba-tiba aksi Chu Sian agak menurun pada panah 49 hingga 52 hingga kedudukan individunya turun dari tempat ke-13 kepada 23.

“Ini wajar dielakkan kerana kesilapan kecil mampu memberi kesan besar kepada pasukan secara keseluruhan,” katanya.

Selepas beraksi dalam keadaan berjerebu kelmarin, trio memanah negara perlu bersedia berdepan kemungkinan bertarung dalam hujan selepas Beijing mengalami hujan semalam dan cuaca juga diramal begitu hari ini.

Mengenai persembahan keseluruhan kontinjen negara selepas tiga hari Sukan Olimpik bermula, Zolkples mengakui kecuali aksi trio memanah negara, beliau agak hampa dengan persembahan perenang muda, Lew Yih Wey dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

“Kita terima kekalahan mereka. Yih Wey masih muda dan ini adalah pengalaman pertamanya manakala beregu negara terpaksa lawan pasangan nombor empat dunia dari Korea Selatan.

“Namun seperti Yih Wei, kita harapkan berada dalam saingan perenang handalan dunia mampu meningkatkan persembahannya bagi mendekati atau mengatasi catatan peribadi,” katanya.



source : berita harian

Subscribe to this Blog via Email :