Anonymous

ENGGAN AMBIL RISIKO

PEMANAH elit kebangsaan, Zulkifli Tahil mengakui kecewa apabila terpaksa menarik diri pada saat akhir menjelang Sukan Sea Laos, 9 hingga 18 Disember ini, berikutan masalah kemerosotan prestasi.

Dia yang sebelum ini dianggap pemanah ketiga terbaik negara selepas Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizan Wan Abd Aziz, memaklumkan penarikan diri kepada jurulatih, Lee Jae-hyung, minggu lalu.

“Saya masih belum dapat menyelesaikan masalah prestasi dan tidak berani mengambil risiko menggalas tanggungjawab negara di Laos.

“Bukan takut menghadapi kekecewaan, tapi saya fikir, lebih baik menyerahkan tugas itu kepada pemanah pelapis elit kerana ada sesetengah daripadanya berada pada tahap terbaik ketika ini,” katanya.


Ketiadaannya menyaksikan skuad lelaki dibarisi empat pemanah. Selain Chu Sian dan Khalmizan, dua lagi pemanah ialah daripada skuad pelapis elit, Fazli Hisham Fauzi serta Arif Farhan Ibrahim Putra.

Cabaran recurve wanita pula digalas S Anbarasi, Nor Aziera Taip dan Nur Amirah Mohamed. Malaysia turut menyertai acara compound dibarisi empat pemanah lelaki dan lima wanita.

Sekalipun dibarisi pemanah muda, Zulkifli tetap yakin Malaysia mampu mencapai sasaran dua pingat emas terutamanya dengan mempertahankan kejuaraan recurve individu lelaki dan berpasukan di Korat 2007.

“Saingan memang sengit tapi saya yakin skuad lelaki berada pada tahap tersendiri di peringkat Asia Tenggara. Malah, pemanah wanita turut mencatat peningkatan dalam banyak kejohanan musim ini.

“Saya yakin negara pencabar menganggap Malaysia sebagai pilihan utama acara ini dan mungkin sasaran itu mampu diatasi dengan kutipan emas lebih banyak,” kata pemanah kelahiran Labuan itu.

Di Korat, skuad memanah menyumbang dua emas, dua perak dan satu gangsa. Barisan 16 pemanah kebangsaan, kebanyakannya dalam Kategori A memulakan cabaran pada 15 Disember ini.

  

Subscribe to this Blog via Email :